Kisah Budak Baru 7 Tahun Sudah Ketagih Ketum Di Alor Setar


Kali ini admin nak menceritakan sedikit mengenai isu ketum yang agak popular di Kedah. Tahukah anda apa itu ketum? Sebenarnya, untuk pengetahuan pembaca setia, daun ketum digunakan oleh orang tua-tua sebagai minuman pemulih tenaga untuk wanita yang baru bersalin, digunakan sebagai rawatan membuang angin dalam badan, dijadikan rawatan sakit belakang dan boleh juga melegakan cirit-birit. 

Namun apa yang membuatkan air ketum tidak boleh dijual sesuka hati apabila ianya disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga memberi kesan yang boleh memudaratkan diri seseorang. 

Pengambilannya secara berlebihan akan membuatkan seseorang itu mabuk dan berkhayal. Kandungannya yang mempunyai Mitraginin membolehkan seseorang itu ketagih dan keadaan ini amat membimbangkan kerana air ketum sudah popular dalam kalangan remaja yang baru hendak mengenal erti dunia sebenar. 

Terdapat juga beberapa kesan yang boleh didapati apabila kerap menggunakan air ketum. Misalnya, seseorang itu akan susut berat badan, bibir menjadi kering, sembelit, insomnia dan anoreksia. Lagipun air ketum ini sudah dikategorikan sebagai barang larangan sejak tahun 2003 lagi.


Terbaru, menurut laporan daripada Astro Awani kanak-kanak yang baru berusia tujuh tahun telah dikesan terjebak dengan ketagihan air ketum di Kedah. Menurut Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah iaitu Mahadzir Elias berkata punca keadaan ini berlaku adalah kerana berlakunya kekreatifan dan inovasi terhadap bentuk air ketum itu sendiri. 

Sekarang air ketum yang dihasilkan adalah dalam bentuk lolipop dan jeli. Inovasi yang dilakukan ini telah mendorong lebih ramai masyarakat untuk terjebak serta menyukarkan pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan. Katanya lagi air ketum ini sudah serupa minuman 3-in-1 dah hanya perlu masukkan ke dalam cawan, tuang air panas dan lepas itu minum la. 


Cara yang terbaru ini adalah untuk memudahkan urusan mereka mengaksesnya di dalam pasaran. Menurut Pengarah AADK, Kubang Pasu merupakan daerah tertinggi di negeri Kedah yang mencatatkan penagih air ketum dan diikuti dengan Padang Terap. 

Pihaknya juga turut mengesan lebih 16 hektar ladang daun ketum di daerah Kubang Pasu dan 12 hektar ladang daun ketum di daerah Padang Terap. Bagi masyarakat yang tidak terjebak lagi dengan air ketum ini diharapkan agar segera menjauhinya kerana ianya boleh memudaratkan diri kita sendiri jika digunakan dalam kuantiti yang berlebihan.

Sumber: orangkedah.com