KJ Susun 10 Jari Rayu PM Pilih Menteri Muda


KUALA LUMPUR - Bukan sekadar jawatan Menteri Belia dan Sukan, tetapi lebih ramai orang muda wajar diangkat menyandang barisan Jemaah Menteri jika Barisan Nasional (BN) terus memperoleh mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, ketika menyatakan hasrat itu, bagaimanapun berkata percaturan sedemikian tertakluk kepada kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas PRU-14.

Beliau membuat rayuan itu ketika ditemubual dalam program Bicara #JomUndi yang disiarkan secara langsung menerusi FB Live BH Online, myMetro dan NST Online dari Studio Jalan Riong, Balai Berita The New Straits Times Press (Berhad), baru-baru ini.

"Sir Datuk Seri, if you are listening, please, please, if you are listening (Datuk Seri, jika anda sedang mendengar, tolong, tolonglah) Menteri Belia dan Sukan selepas ini mesti datang daripada golongan orang muda.

"It can't be me, because I am not muda anymore (Jawatan itu tidak boleh disandang oleh saya kerana tidak muda lagi) tetapi biarlah, bukan hanya jawatan Menteri Belia dan Sukan, tetapi lebih ramai lagi dalam kalangan menteri diangkat daripada golongan muda.

"We must be seen as the party of the future (Kita perlu dilihat sebagai parti masa depan)," katanya sambil menyusun sepuluh jari meminta supaya hasrat mewakili suara generasi muda diberi pertimbangan sewajarnya daripada pucuk kepemimpinan tertinggi BN.

Beliau ditanya jika jawatan Menteri Belia dan Sukan wajar diberikan peluang kepada pemimpin berusia bawah 30 tahun, selaras komitmen BN dalam memperkasa suara orang muda.

Dilantik menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada usia 37 tahun, Khairy berkata, juga manifesto Jaminan Orang Muda (JOM) meletakkan BN sebagai parti yang mewakili generasi belia.

Sumber: BH Online