Komited Ubah Landskap Kuala Nerang


PADANG TERAP - Memberikan perkhid­matan terbaik kepada rakyat dalam mela­k­sa­nakan tanggungjawab kepada masyarakat adalah ikrar paling utama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim yang menabur bakti sepanjang tempoh lima tahun memikul tugas itu.

Malah, kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan juga bersetuju bahawa Badrul Hisham perlu dikekalkan kali ini selain memberitahu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri itu menjalankan tugas dan tanggungjawab yang terbaik sepanjang tempoh lima tahun penggal ke-13.

Di Kuala Nerang khususnya, tidak kedengaran nama calon lain yang sesuai untuk menggantikan Badrol hisham yang dijangka kekal menjadi wakil rak­yat di kawasan itu.

Hubungan akrab dan sema­ngat perpaduan dalam kalangan pemimpin UMNO dan BN di Parlimen Padang Terap dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu diakui baik dan tidak mempu­nyai masalah.

Oleh itu, siapa sahaja yang menjadi calon di kawasan tersebut pasti akan mendapat sokongan dari semua peringkat yang turut diikuti gerak kerja empat sayap utama parti yang kuat untuk membantu kemenangan calon yang bertanding.

Kemenangan majoriti 1,997 dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah hasil usaha wakil rakyat BN memenangi hati penduduk yang rata-rata terdiri daripada penoreh getah dan pesawah de­ngan memberikan perkhidmatan terbaik tanpa belah bahagi.

Walaupun begitu, ke­­me­na­ngan ter­sebut diperoleh bukan dengan cara yang mudah di mana beliau berdepan dengan calon pembangkang ketika itu, Syed Ibrahim Syed Omar dan seorang calon bebas.

Sepanjang menjadi wakil rak­yat, banyak program diwujudkan bagi menyalurkan manfaat dan faedah kepada masyarakat sejak menjawat jawatan tersebut pada tahun 2013 seperti yang terkan­dung dalam mainfestonya.

Yang cukup terkenal adalah program pem­­bangunan suka bola sepak di peringkat kanak-kanak iaitu Kenari Kids dan paling baharu, buah tangan kepada penduduk Kuala Nerang ialah 298 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sudah 70 peratus terbina.

Jika dinilai dengan janji dan pelaksanaannya, beliau wajar diberikan markah penuh sebagai ganjaran atas usaha keras beliau mengotakan janji dan melaksanakan perincian kemajuan untuk penduduk di Kuala Nerang.

Menyedari hakikat itu, sebaik sahaja diberikan mandat menjadi wakil rakyat, Badrol Hisham tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya terus berusaha membawa kemajuan untuk dinikmati masyarakat segenap lapisan selain memenuhi kehendak dan keperlu­an rakyat agar seiring dengan kemajuan negara.

Beliau berkata, sepanjang tem­poh lima tahun yang dilalui, antara perkara yang diberi tumpuan adalah menyediakan kemudahan kepada penduduk bagi meningkatkan taraf hidup selain menyediakan infrastruktur mencukupi bagi menampung keperluan ­rak­yat.

“Banyak program terdiri daripada kursus dan pendedahan telah dilaksanakan kepada golo­ngan penoreh getah terutamanya untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Menurutnya, banyak pertemuan bersama rakyat diatur dari semasa ke semasa bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi selain mengemaskini perkemba­ngan dalam kawasan tanggung­jawabnya.

“Saya lebih suka mende­ngar sendiri permasalahan yang dihadapi masyarakat dengan menghadiri perjumpaan yang dianjurkan berbanding mengharapkan input daripada pegawai saya, dengan cara ini saya percaya mendekatkan saya dengan masyarakat.

“Selain itu, saya anggap semua penduduk di kawasan ini sebagai adik beradik saya sendiri, oleh itu saya akan berusaha sedaya upaya membantu masyarakat dalam apa jua isu berbangkit,” jelasnya.

Beliau memberitahu, terdapat banyak projek pembangunan akan dilaksanakan dengan memfokuskan aspek pendidikan dan kebajikan terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Saya merancang untuk me­ngadakan lebih banyak program yang dapat membantu golongan tersebut memperoleh pendapatan lebih tinggi selain meningkatkan jumlah usahawan berkemahiran tinggi dengan pelbagai jenis bantuan dam bimbingan.” ujarnya.

“Saya percaya apabila berlaku peningkatan ilmu dan kemahiran, ia menjana ekonomi setempat dan menberi faedah kepada semua peringkat masyarakat.” jelasnya.

Sumber: Utusan Online