KUALA LUMPUR - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan video filem Dukun mahupun menjalankan kegiatan jual beli video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) secara atas talian akan dikenakan tindakan undang-undang.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar memberitahu, laman sesawang yang dikenal pasti menyiarkan filem Dukun akan disekat serta merta.
Katanya, selaku penerbit, Astro Shaw tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar mengambil tindakan selanjutnya.
“Senarai salinan cetak rompak fizikal dan digital telah kami kumpulkan untuk membuat tindakan selanjutnya. Bagi cetak rompak digital kita telah membuat laporan ke media sosial dan laman sesawang berkenaan untuk menyekat dari terus dilayari.
“Pihak kami cuba sedaya upaya untuk membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini, kami mengharapkan orang awam tidak menonton cetak rompak ini kerana kualiti yang dipaparkan tidak sama berbanding yang ditayangkan di pawagam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Mengulas lanjut, Najwa turut mengharapkan agar khalayak terus memberi sokongan terhadap filem Dukun termasuk industri seni tanah air.
“Bagi individu yang cuba untuk meletakkan filem DUKUN ini di media sosial diharap dapat menghentikan niat itu kerana pihak berwajib boleh mengesan lokasi dan identiti yang memuat naik,” jelasnya.
Kelmarin, aktres Datin Seri Umie Aida yang turut terlibat sebagai pelakon utama Dukun telah meluahkan rasa berang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik video filem berkenaan di media sosial, Facebook menerusi akaun Instagram miliknya.
Pada masa sama, aktor Faizal Hussein turut berasa kecewa terhadap perbuatan individu yang dianggap biadab serta tidak menghormati hasil kerja anak seni tempatan.
Filem arahan Dain Said terbitan Astro Shaw itu memulakan tayangan di seluruh Malaysia pada 5 April lalu dan dibintangi oleh Umie, Faizal, Hasnul Rahmat, Allahyarham Ramli Hassan, Nam Ron, Elyana, Sofi Jikan, Adlin Aman Ramlie, Bront Palarae, Chew Kin Wah, Avaa Vanja, Nadiya Nisaa dan Mislina Mustafa.
Sumber: K! ONLINE