Layanan 'Gersang' RM300 Untuk 4 Jam


Kuala Lumpur: Tawaran berhibur sehingga awal pagi dengan pakej khidmat pelayan pelanggan (GRO) RM300 untuk tempoh empat jam.

Itu ‘pelaris’ sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Besi, di sini, untuk menarik pengunjung berfoya-foya di premis berkenaan yang mampu meraih pendapatan lebih RM1 juta sebulan hasil beroperasi lebih masa.

Ketua Penyelaras Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Azman Mahmood berkata, pemeriksaan terhadap pusat hiburan beroperasi sejak 26 tahun itu mendapati ia melanggar peraturan apabila menjalankan perniagaan selepas waktu operasi dibenarkan.

Katanya, premis itu memperoleh pendapatan lebih RM1 juta setiap bulan hasil khidmat GRO dan jualan minuman keras selain perniagaan pusat karaoke.

“Berdasarkan keterangan pekerja premis, mereka mengaku menawarkan perkhidmatan GRO dengan kadar harga RM300 bagi tempoh empat jam selain minuman keras.

“Hasil jualan ‘memberangsangkan’ yang diraih, mereka mampu meraih pendapatan jutaan ringgit setiap bulan,” katanya dalam sidang media selepas mengetuai serbuan di premis itu dalam Op BAH Siri 43, semalam.

Beliau berkata, sebuah lagi pusat hiburan diserbu dalam operasi itu adalah premis di Jalan Ipoh di sini.

Katanya, operasi bermula jam 1 pagi itu disertai 320 pegawai dan anggota daripada 27 agensi kerajaan serta 18 badan bukan kerajaan (NGO).

Azman berkata, dalam operasi itu pihaknya menahan 105 individu berusia antara 20 dan 60 tahun atas pelbagai kesalahan.

“Agensi Antdadah Kebangsaan (AADK) menahan 76 individu terdiri daripada pengunjung dan pekerja dua premis berkenaan selepas didapati positif dadah jenis ganja dan methamphetamine.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) pula menahan 24 individu selepas didapati mengambil minuman keras mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan semua mereka diberikan kaunseling.

“Jabatan Imigresen turut menahan lima wanita iaitu dua warga Vietnam serta masing-masing warga Filipina, China dan Indonesia selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengeluarkan tiga notis terhadap dua premis berkenaan kerana kesalahan beroperasi melebihi had masa dibenarkan serta mempamerkan iklan tanpa lesen.

“Jabatan Kastam merampas 70 minuman keras pelbagai jenama didapati dijual tanpa lesen dan selepas waktu operasi di kedua-dua premis berkenaan selain merampas lebih 300 tin minuman bir di pusat hiburan kedua atas kesalahan sama.

“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan satu notis kesalahan mengikut Akta Syarikat 2016 dalam operasi itu,” katanya.

Sumber– Metro