Lelaki Jerat Burung Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Kulim


KULIM - Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memasang jerat burung merbuk dalam belukar berhampiran Taman Lagenda, Padang Serai di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Mohamad Aidil Adha Zulkifli, 20, berasal dari Kampung Jarak, Pulau Pinang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abang tiri mangsa, Mohamad Noorazuan Ramli, 26, berkata mereka keluar rumah kira-kira jam 7 pagi untuk menjerat burung di sekitar kawasan taman itu.

"Ketika berada di atas motosikal, saya terdengar bunyi letupan disusuli jeritan sebelum ternampak percikan api menyambar tiang besi digunakan untuk menjerat burung dan menyebabkan Aidil rebah," katanya ketika di temui di Bilik Forensik, Hospital Kulim, malam tadi.

Katanya, beliau kemudian bergegas mendapatkan pertolongan bapa saudara yang tinggal berdekatan.

"Saya tidak berani menghampiri mangsa kerana takut arus elektrik masih ada di kawasan terbabit.

"Pihak polis dan kakitangan ambulans yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan Aidil sudah meninggal dunia," katanya.

Mohamad Noorazuan yang masih terkejut dengan kejadian itu mengaku begitu terasa kehilangan mangsa kerana mereka sangat rapat.

Beliau berkata, arwah baru sebulan tinggal bersamanya di sini selepas berhenti kerja di Selangor.

Jika ada masa lapang, katanya, mereka berdua akan keluar menjerat burung merbuk sebagai hobi.

Bagaimanapun, beliau mendakwa mereka tidak menyedari ada kabel elektrik di kawasan terbabit kerana tiada papan tanda amaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Katanya, kes disiasat sebagai laporan kematian mengejut.

Sumber: BH Online