Lemas Dalam Buaian: “Saya Dan Pengasuh Dah Berbual Hati Ke Hati...”


PETALING JAYA - Tiada apa yang lebih meruntun jiwa daripada kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan si kecil permata hati yang menjadi pengubat hati di kala suka dan duka.

Itulah yang dihadapi sepasang suami isteri yang terpaksa merelakan pemergian bayi lelaki mereka yang baru berusia 10 bulan akibat insiden lemas dalam buaian ketika berada di rumah pengasuh yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.


Nur Syazwanie Mustafa, 27, berkata, perkara yang paling ditakutinya akhirnya berlaku apabila dia dan suami kehilangan bayi mereka, Mikhael Sufyan Muhammad Syafiq pada Jumaat lalu.

"Perkara yang paling mommy takutkan selama ni berlaku akhirnya. Kehilangan seseorang yang sangat kami sayangi.

"Sudah jadi bahagian Mikhael meninggal dunia akibat lemas dalam buaian di rumah pengasuh dan bahagian saya dan keluarga untuk menerima takdir dari-Nya," luah perunding kewangan yang reda dengan kehilangan bayinya itu.

Bayi malang itu disahkan meninggal dunia pada pukul 1.20 petang Jumaat selepas usaha menyelamatkannya gagal.

Menerusi posting tersebut, Nur Syazwanie mendakwa, anak lelakinya ditemukan dalam keadaan terlangkup tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi sewaktu dia dikejarkan ke klinik berhampiran.

Wanita itu bagaimanapun beranggapan bahawa ajal dan maut sudah ditentukan Allah dan hanya punca kematian yang berbeza.


Ibu kepada dua cahaya mata itu sudah memaafkan pengasuh tersebut dan berbincang sama ada akan terus menghantar seorang lagi anaknya ke rumah wanita berkenaan.

"Kami sudah berbual hati ke hati tentang rancangan selepas ini dan bersepakat untuk tidak lagi menghantar anak sulung ke rumah pengasuh itu.

"Ia bukanlah disebabkan saya tidak memaafkannya, tapi untuk menghilangkan trauma anak perempuan saya yang masih ingat dengan jelas insiden yang berlaku," jelas Nur Syazwanie ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Setakat ini, posting tersebut sudah menerima sebanyak 2,812 perkongsian dan lebih 7,900 like (tanda suka).

Suami Nur Syazwanie, Muhammad Syafiq Mohd Salleh turut meluahkan perasaannya terhadap kehilangan Mikhael Sufyan.

Sumber: Mstar Online