Letak Jawatan Dulu Baru Jadi Calon: KPPA


IPOH -Penjawat awam yang dipilih mana-mana parti politik untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) perlu meletak jawatan terlebih dahulu jika mahu menjadi calon.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata peletakan jawatan itu adalah prosedur asas yang perlu dipatuhi setiap penjawat awam yang mahu bertanding bagi mana-mana pilihan raya.

"Soal bertanding atau tidak bertanding bergantung kepada calon berkenaan, jika dipilih bertanding syaratnya bila dah jadi calon, kena 'tender' (letak jawatan) perkhidmatanlah, itu prosedur biasa maka ikutlah prosedur biasa.

"Apa pun saya belum dengar ada dalam kalangan kakitangan awam yang akan bertanding.

"Saya sokong atau tak sokong (calon penjawat awam bertanding) adalah soal peribadi, jika nak jadi anggota pentadbiran kerajaan melalui platform politik terpulang pada diri masing-masing, tapi itu pun bergantung kepada minat, kalau kita sahaja yang minat (tetapi) orang lain tak minat kita tak syok juga, dan dia (calon) juga mesti ada kualiti tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel pada Program Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) anjuran Kerajaan Perak dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Wacana itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda yang juga sebagai ahli panel bersama-sama Zainal Rahim pada program itu yang dipengerusikan Timbalan Presiden CUEPACS, Zainal Ismail.

Zainal Rahim berkata, semua penjawat awam adalah aset utama kerajaan, namun jika ada dalam kalangan mereka memilih untuk menjadi calon pada pilihan raya maka ia adalah pilihan individu berkenaan.

Sementara itu, Azih berkata tidak salah jika ada dalam kalangan penjawat awam yang diberi kepercayaan untuk bertanding pada pilihan raya dan jika mahu diangkat untuk menjadi pemimpin melalui platform politik.

Dalam pada itu, mengulas penganjuran program Wacana TN50 anjuran CUEPACS, Azih berkata Perak adalah negeri ke-10 dijelajahi daripada 12 negeri yang terbabit dalam program itu.

Katanya, tinggal dua lagi negeri iaitu Melaka dan Selangor yang masih belum dikunjungi bagi menjelaskan kepada ahli mengenai peranan dan pembabitan CUEPACS dalam menjayakan TN50.

Katanya, melalui program ini CUEPACS bersama kerajaan negeri dan pemimpin kesatuan sekerja yang lain akan memberikan cadangan dan maklum balas serta aspirasi yang boleh diketengahkan untuk ditinggalkan bagi kepentingan generasi akan datang.

"TN50 bukan untuk generasi kita tetapi generasi akan datang. Kita akan gabungkan pandangan dengan aspirasi yang lain baik melalui belia dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) untuk digemblengkan supaya semuanya menjadi cadangan lebih konkrit," katanya.

Sumber: BH Online