Lima Calon Wanita Mantapkan Lagi Barisan BN Kedah


ALOR SETAR - Teka-teki siapa bakal calon yang akan mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di Kedah akhirnya terjawab setelah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan nama calon sebentar tadi.

Sebanyak 51 kerusi dipertaruhkan iaitu 15 Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan menyaksikan BN Kedah mengekalkan 27 penyandangnya yang berkaliber, berpengalaman dan terbukti mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan mereka kepada rakyat sebelum ini.

Tidak ketinggalan, BN Kedah turut mempertaruhkan lima calon wanita yang mantap dan berdaya saing tinggi.

Mereka terdiri daripada tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), N08 Pedu iaitu Kama Noriah Ibrahim, N19 Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan N36 Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor.

Tidak ketinggalan dua muka baharu iaitu di N.20 Sungai Limau, Datuk Norma Awang dan P015 Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd. Yusoff.

Pengumuman calon berkenaan di lakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Seri Mentaloon di Alor Setar.

BN Kedah kini menyandang 10 kerusi Parlimen dan 20 DUN. Mengikut statistik, sebanyak 1,146,492 pengundi di Kedah akan menunaikan tanggungjawab pada 9 Mei. - Kedahnews.com