Lufya Hadapi Detik Cemas, Diugut Individu Iran


PELAKON dan penyanyi Lufya Omar berhadapan detik cemas apabila telefon bimbit miliknya digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Menurut pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar, perkara itu disyaki dilakukan oleh individu dari luar negara yang dikatakan berjaya mengakses e-mel serta akaun Instagram miliknya pada Februari lalu.

“Bulan lalu telefon bimbit saya digodam sehingga e-mel dan Instagram saya boleh dimasuki oleh pihak tersebut.

“Individu itu mengaku berasal dari Iran dan menghubungi saya untuk meminta wang jika mahu semua maklumat dan akaun Instagram saya semula.

“Dia minta saya membayar USD1,000 (RM3,867.51) dan jika saya tidak bayar dia buang gambar dan pengikut Instagram saya,” katanya dipetik mStar Online.

Ujar Lufya, perkara berkaitan berlaku berkemungkinan besar disebabkan oleh tindakannya yang melayari internet menggunakan Wi-Fi awam.

Bagaimanapun pelakon wanita tersebut berkata, dia sudah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

“Saya sudah buat laporan polis bagi melindungi keselamatan. Setakat ini gambar saya di Instagram semua sudah dibuang.

“Pengikut Instagram pula lebih separuh juga sudah hilang gara-gara saya enggan ikut permintaannya,” ujar Lufya.

Sementara itu berkongsi mengenai perkembangan diri, dia dikatakan bakal menyertai misi kemanusiaan ke empat buah negara iaitu Malawi, Bosnia, India dan Filipina bersama 11 lagi rakan selebriti lain pada hujung bulan ini - Kedahnews.com