Mahathir Malu Nafi Ada Saham The Loaf Walhal…


KANTOI… Tun Dr. Mahathir Mohamad diingatkan agar berhenti tipu rakyat apabila menafikan konon tiada sebarang saham dalam kedai roti premium, The Loaf yang ditutup perniagaannya.

Perkara itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengesahkan Mahathir memiliki pegangan saham sebanyak RM10 juta dalam kedai tersebut.

“Dia (Mahathir) mungkin malu sebab kedai itu (The Loaf) terpaksa ditutup baru-baru ini. Bayangkanlah sejak ditubuhkan dari tahun 2005 lepas, rugi sampai sekarang sudah pun 13 tahun meskipun berjaya ada 12 cawangan.

“Sekarang sudah tutup, ini helah hendak salahkan pihak kerajaan, jadi usah dengar cakap Mahathir yang putar alam. Cakaplah betul-betul. Banyak perkara yang dia sudah buat, dia kemudian putarkan pula,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Bangunan UMNO Batu Kurau hari ini sebelum menyaksikan penyerahan borang keahlian 32 individu termasuk ahli PKR dan PPBM dari Kampung Anak Kurau untuk menyertai UMNO.

Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan belum disahkan status oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam menjelaskan konon langsung tidak memiliki saham dalam The Loaf, yang menutup perniagaannya itu.

Pengerusi PPBM yang kini dibubarkan sementara atas perintah RoS itu sebaliknya mendakwa beliau hanya mampu memiliki sebanyak 200 unit saham dalam sebuah syarikat tembakau dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).


“Saham itu dianugerahkan kepada saya selepas merasmikan syarikat terbabit ketika jadi perdana menteri dahulu,” dalih Mahathir kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah umum di Bukit Kayu Hitam, Kedah malam semalam.

Semalam media tempatan melaporkan The Loaf menutup operasi perniagaannya selepas lebih 12 tahun beroperasi menerusi notis dimuat naik dalam media sosial bertarikh 9 April lalu ditujukan khusus untuk pelanggan mereka.

Notis itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab mengapa ia ditutup sebaliknya hanya berkata syarikat M&M Consolidated Sdn. Bhd. yang menguruskan The Loaf berpuas hati kerana berjaya mencapai objektif utamanya.

Perniagaan roti mewah usaha sama antara Mahathir sendiri dengan Motoko Resources Sdn. Bhd. yang cuma ada kepentingan 49 peratus, manakala beliau pula dikatakan memiliki 51 peratus saham dalam syarikat bakeri tersebut.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mahathir memiliki 10.062 juta saham dalam syarikat MBM Consolidated Resources yang merupakan pemilik The Loaf, malahan merupakan pengarah syarikat itu.

Selain itu, Mahathir juga pemilik Eurola Sdn. Bhd. dan Evektor – dua-duanya pembina kapal terbang; selain pemilik ketiga terbesar dalam hotel bertaraf lima bintang, Palace of Golden Horses dekat rumah beliau di Serdang, Selangor.

Mengulas lebih lanjut, Hamzah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pada itu berkata, beliau berasa kecewa dengan sikap Mahathir pada ketika ini jelas sama sekali tidak lagi berprinsip apabila berpolitik seperti dahulu.

Sebaliknya tambah beliau, perjuangan UMNO sejak ditubuhkan pada 1946 tetap masih lagi adalah konsisten dalam membela nasib agama, bangsa dan negara dengan kerjasama erat parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Dulu dia (Mahathir) pernah berkata siapa yang ikut DAP, pengkhianat bangsa tetapi kini dialah yang menjulang tangan Lim Kit Siang. Begitu juga suatu ketika dulu dia cakap macam-macam terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tetapi sekarang dia boleh duduk sekali dengan mereka,” kata Hamzah merujuk kerjasama Mahathir bersama-sama seteru politik yang lantang dikutuknya semasa menjadi perdana menteri dahulu. 

Sumber: Agensi