Mahathir Tak Suka China Melabur Berbilion Ringgit Di Malaysia


DALAM wawancara dengan Bloomberg yang disiarkan semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata projek-projek mega pelaburan China di Malaysia perlu dinilai semula.

Mahathir menyelar tindakan membenarkan China melabur berbilion ringgit yang beliau dakwa tidak menguntungkan Malaysia.

“Kami tidak dapat apa-apa daripada pelaburan itu,” kata Mahathir dipetik media perniagaan Bloomberg.

Pendirian Mahathir ini bukan baharu, kerana sebelum ini beliau berjanji kalau Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, projek-projek besar melibatkan China akan dinilai semula.

Mahathir bermaksud mengurangkan skala projek-projek tersebut dan membatalkan beberapa projek.

Kata Mahathir, lebih baik batalkan dan bayar sahaja pampasan kepada mereka yang terlibat. Bayar pampasan lebih baik daripada bayar hutang itu, dakwa Mahathir.

Antara projek yang kuat dikritik Mahathir ialah Forest City di Johor, landasan keretapi Pantai Timur ECRL, dan keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura.

Melalui kenyataan terbaharu beliau dalam Bloomberg ini, Mahathir menyentuh dua isu sekaligus, pertama politik dalaman untuk mengkritik dan melemahkan kerajaan BN, dan kedua permainan politik antarabangsa antara China dengan Amerika Syarikat.

Kritikan Mahathir ini dilancarkan sejak menyeberang menjadi pembangkang, menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan berpakat dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Dr. Mustafa Izzuddin, felo di ISEAS-Institut Yusof Ishak di Singapura dan pensyarah National University of Singapore, sikap Mahathir terhadap projek Forest City itu berkaitan dengan permusuhannya dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Sultan Johor, Sultan Ibrahim dan ayahandanya Sultan Iskandar.

Menurut Mustafa lagi, strategi ini juga melibatkan usaha Mahathir untuk melemahkan UMNO di Johor, kubu kuat parti pemerintah itu.

Tuduhan menjual negara kepada China ialah salah satu senjata utama yang digunakan pembangkang terhadap Najib.

Mahathir juga dikatakan mengharapkan tindak balas daripada orang Melayu di Johor apabila menimbulkan isu pelaburan besar China di Johor ini, yang disebut sebagai menjual tanah orang Melayu kepada China.

Dengan cara ini, sokongan orang Melayu kepada UMNO di Johor diharapkan oleh Mahathir akan merosot dan UMNO akan tergugat di negeri kelahirannya, sekaligus melemahkan Najib sebagai perdana menteri dan pemimpin parti.

Dari sudut lebih luas, projek-projek China di Malaysia ini ialah sebahagian projek pelaburan infrastruktur global bagi memenuhi rancangan Belt and Road atau One Belt One Road (OBOR)yang meliputi tanah besar Asia hingga Eropah dan Afrika.

Dari perspektif persaingan China dengan AS, kritikan Mahathir ini menyebelahi AS kerana menyerang projek OBOR yang menjadi tunjang perluasan dominasi China yang sedang mencabar kuasa AS.

Wawancara dengan Bloomberg itu boleh dianggap sebagai satu isyarat Mahathir kepada Barat bahawa beliau berada di pihak Barat dan menolak hubungan lebih rapat Malaysia dengan China.

Bloomberg ialah salah satu media asing yang sering menerbitkan berita buruk tentang Malaysia termasuk projek Forest City di Johor.

Laporan tentang Forest City itu juga menjadi rujukan dan dijaja oleh Mahathir yang memberi gambaran buruk kepada Sultan Johor dan Najib.

Umum mengetahui yang Mahathir telah banyak berubah pendirian politiknya, yang satu masa dulu kuat menentang AS dan Barat hingga berani berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam AS.

Mahathir juga dulu lantang mengkritik demonstrasi haram Bersih yang disokong oleh agensi-agensi asing, tetapi akhirnya demi kepentingan politik telah menyertai Bersih untuk menunjukkan sikap politiknya yang baharu.

Inilah sikap Mahathir pada masa ini yang ditentukan oleh kepentingan politiknya untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib, menaikkan dirinya dan anaknya dalam kedudukan berkuasa.

Seperti yang beliau pernah katakan sendiri, tidak ada kawan dan musuh yang tetap dalam politik.

Mahathir melaksanakannya sendiri apabila bekerjasama dengan pihak yang mesra dengan Barat, dan sanggup bekerjasama dan menyokong usaha DAP untuk menang lebih besar di Johor, negeri tonggak kuasa UMNO dan orang Melayu. - Kedahnews.com