Mahdzir Tahu Ada Warga Pendidik Tak Sokong BN, Tapi...


ALOR SETAR - Dato' Seri Mahdzir Khalid hari ini meminta warga kementeriannya supaya dapat menilai kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengemudi negara khususnya dalam meningkatkan sistem pendidikan dengan lebih berkesan.

Menteri Pendidikan itu berkata, meskipun tahu tidak semua warga pendidik di negara ini menyokong kerajaan sedia ada, namun beliau tetap mengharap agar penilaian rasional mereka akan mengubah pendirian sekali gus memberi sokongan kepada BN.

"Saya berharap rakan-rakan dalam perkhidmatan pendidikan di semua peringkat sama ada di sekolah, PPD dan jabatan dapat melihat tentang kesungguhan kerajaan dan memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada, Kerajaan Barisan Nasional.

"Saya tahu... saya tahu... Sebagai Menteri (Pendidikan), saya tahu bukan semua yang saya sebut ini menyokong kerajaan hari ini (BN). Di sekolah pun saya tahu.

"Tapi saya harap, sebagai penjawat awam, kita dapat memberi sokongan kepada Kerajaan (BN). Saya bercakap ini sebagai Menteri Pendidikan juga sebagai ahli politik.

"Saya harap memberi sokongan kepada kerajaan dan meneruskan usaha dalam bidang dalam bidang pendidikan," mintanya bersungguh-sungguh kepada kira-kira 500 warga pendidik yang hadir, di sini hari ini.

Mahdzir berkata demikian ketika berucap di Program Turun Padang Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke Parlimen Alor Setar dan Majlis Perasmian Pra Pelancaran Perayaan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menjelaskan kesungguhan pihak kerajaan memperkasakan institusi pendidikan di negeri Kedah dengan limpahan peruntukan bagi memantapkan penyampaian dan matlamat #KemenjadianMurid sebagaimana yang disasarkan.

Menteri itu berkata, sebanyak RM5.22 juta telah diperuntukkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Setar, PPD Kulim (RM2.6 juta), PPD Baling (RM2.2 juta), PPD Langkawi (RM2.5 juta), Kubang Pasu (RM2.5 juta) dan institusi pendidikan di daerah lain berjumlah RM15 juta.

Selain itu, Mahdzir turut menyatakan perkembangan projek pembinaan sekolah baharu, SMK (Agama) Jerlun yang memiliki 30 bilik darjah dan asrama yang memuatkan 900 pelajar dan kini pada tahap 96 peratus siap serta hanya menanti kira-kira 4 peratus sebelum boleh digunakan.

Beliau juga menjelaskan tentang projek IBS di sekolah kategori dha'if, Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar dan SK Alor Melintang, di daerah Kota Setar, manakala sebuah lagi, SK Ayer Hitam, Megat Dewa, yang terletak di kawasan Jerlun.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan keyakinannya terhadap kepimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk terus mengemudi Kerajaan BN Negeri Kedah pada PRU ke-14 nanti.

"Saya yakin dengan kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Pada 10 hb (Mei), insyaAllah kerajaan baru yang akan dibentuk nanti  adalah kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional," ujar beliau.

Ahmad Bashah hadir merasmikan program itu turut meminta supaya warga pendidik di negeri Kedah agar tidak tersilap memilih kerajaan pada PRU ke-14 kali ini yang mengimbas kembali akibat yang terpaksa ditanggung rakyat selepas PRU ke-12 yang lalu. - Kedahnews.com