KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggantung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membubarkan sementara pendaftaran PPBM sehingga permohonan semakan kehakiman dikemukakan parti itu diputuskan.
Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan parti itu yang diwakili peguam Rosli Dahlan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan ROS yang membubarkan sementara parti itu.
Hakim berkenaan yang membuat keputusan di kamar hakim di sini dalam pada masa sama turut menolak bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsol Bolhassan.
PPBM yang diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh memfailkan permohonan itu kali kedua pada 13 April lalu dengan menamakan Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim sebagai responden tunggal.
Parti itu memfailkan semula permohonan berkenaan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada 11 April lalu menolak permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman atas alasan permohonan itu sudah menjadi akademik.
Dalam permohonan baharu itu, Shahruddin selaku pihak pemohon antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan pendaftar pertubuhan yang didakwa menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 apabila memutuskan bahawa PPBM tidak menghantar maklumat di bawah notis Seksyen 14(2).
Sumber: Utusan Online