Mahkamah Indonesia Putuskan Penyitaan Kapal layar Mewah Di Bali Tidak Sah


Mahkamah Pengadilan Negeri Jakarta Selatan memutuskan bahawa tindakan pihak berkuasa menyita kapal layar Equanimity di Bali bulan lepas, adalah tidak sah.

Sehubungan itu, Hakim Ratmoho mengarahkan Polis Indonesia menyerahkan kembali kapal layar itu kepada pemiliknya, Equanimity (Cayman) Ltd Islands, yang menfailkan permohonan supaya kapal layar itu dikembalikan.

"Sita kapal Equanimity terhadap pemohon berdasarkan surat perintah penyitaan adalah tidak sah dan tidak berdasarkan hukum (undang-undang)," katanya dalam sidang pengadilan di sini, petang semalam..

Ratmoho berkata penyitaan itu tidak sah kerana polis gagal membuktikan kapal itu terbabit dalam kegiatan jenayah.

Kapal layar itu dirampas pada 28 Feb lepas di Bali dan menjadi sasaran penyebar berita dan maklumat tidak benar termasuk kononnya sejumlah besar wang ditemui di dalam kapal layar berkenaan.

Sebelum ini, wakil Direktur Direktorat Tindak Pidana Ekonomi Khusus (Dittipideksus) Indonesia, Daniel Silitingo, turut menafikan penemuan wang berkenaan.

Selain itu, kapal layar berkenaan turut dikaitkan dengan hartawan kontroversi Jho Low yang didakwa menggunakan dana daripada 1MDB untuk membeli kapal layar itu.

- Bernama