PETALING JAYA - Jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri pernah mengimpikan hasrat untuk memiliki sebuah rumah mewah bak istana sejak usianya 23 tahun.
Menurut Aliff, 31, impian itu muncul ketika dia mengunjungi Istana Pahang semasa menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk kira-kira lapan tahun lalu.
"Ketika itu saya menerima darjah kebesaran di Istana Pahang dan saya tertarik dengan kemewahan istana dan mengimpikan untuk memiliki sebuah rumah mewah berkonsepkan begitu.
"Saya sedar saya hanya orang biasa dan bermula daripada situ saya menyimpan azam dan berusaha untuk mencapai impian ini.
"Alhamdulillah akhirnya tahun 2018, impian saya ini berjaya direalisasikan dan ia adalah hasil kerja keras saya sendiri," katanya kepada mStar Online.
Aliff ditemui semasa program jelajah media ke kediamannya dikenalii Aliff Syukri Palace di Kota Damansara, di sini pada Selasa.
Rumah dengan rekaan Royal Modern Classic itu mempunyai 30 bilik tidur termasuk surau, gim dan bilik kebal.
Ditanya mengenai kos pembinaan rumah tersebut, Aliff berkata dia lebih selesa untuk merahsiakan tentang hal itu.
Sementara itu, usahawan yang juga merupakan penyanyi ini memberitahu niatnya berkongsi mengenai kediaman ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau riyak.
Sebaliknya, dia hanya ingin memberi inspirasi kepada masyarakat supaya tidak pernah mengalah dan sentiasa berusaha untuk mencapai impian.
"Demi Allah saya bukan nak riyak. Apa yang saya kongsi ini adalah hasil usaha sepanjang melalui kepayahan hidup, dari tiada apa-apa sehingga tercapai ini semua.
"Saya mahu orang di luar sana menjadikan ini sebagai inspirasi dan jangan pernah mengalah untuk mengapai impian.
"Harap-harap tak ada yang kecam kerana saya hanya ingin berkongsi yang baik-baik sahaja," katanya yang merancang menceburi perniagaan jualan perabot selepas ini.
Dalam pada itu Aliff menggunakan perabut di kediamannya ini yang diimport dari Itali, Sepanyol, London dan Jakarta dengan hasil kerja pereka hiasan dan jenama terkemuka dunia.
Keluasan rumahnya ini ialah 40,000 kaki persegi.
Selain mahligai berkenaan Aliff juga memiliki kediaman di Pavilion Kuala Lumpur dan penginapan diberi nama Sugeh Resort yang mengendalikan Sugeh Village di Sungai Buloh dan Sugeh Hill di Janda Baik, Pahang.
Sumber: Mstar Online