Majikan Baik Hati Beri 3 Hari Cuti, Tiket Penerbangan, Elaun Untuk Balik Mengundi


KOTA KINABALU - Sebuah syarikat bahan binaan yang berpangkalan di Shah Alam memberikan pekerjanya dari Sabah dan Sarawak untuk bercuti berbayar selama tiga hari, beserta dengan tiket penerbangan dan elaun, untuk pulang mengundi pada pilihan raya umum.

Pemilik Marble Emporium Sdn Bhd, Sim Yen Peng, 43, berkata, beliau melakukan inisiatif itu kerana mengundi merupakan satu tanggungjawab.

Beliau berharap langkahnya itu akan mendorong syarikat-syarikat lain di Semenanjung yang mempunyai pekerja berasal dari dua negeri itu, untuk melakukan perkara yang sama.

Yen Peng yang berasal dari Miri berkata, beliau turut dipengaruhi berdasarkan pengalaman sendiri yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Tahun Baharu Cina atau mengundi.

"Jika majikan boleh membelanjakan tiket pulang tahunan wajib untuk pekerja asing mereka, mengapa tidak melakukan perkara yang sama kepada pekerja mereka dari Sabah dan Sarawak setiap lima tahun untuk pilihan raya umum?" ujar Yen Peng pada Selasa.

Beliau berkata, 11 pekerjanya dari Sabah dan Sarawak akan mendapat tiga hari cuti dari 7 Mei hingga 9 Mei, tiket penerbangan pergi pulang secara percuma dan elaun perjalanan sebanyak RM300 setiap seorang, dengan perbelanjaan sehingga kira-kira RM1,000 bagi setiap pekerja.

Beliau membuat pengumuman itu di laman Facebook syarikatnya pada Selasa, beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei untuk hari mengundi.

Posting itu kemudian tular, dengan ramai yang menyokong usaha majikan tersebut.

Yen Peng yang mengusahakan syarikatnya lapan tahun lalu berkata, sekurang-kurangnya syarikat harus memberikan pekerja yang tinggal jauh dari pusat mengundi mereka sebanyak RM100 dan hari tambahan untuk membolehkan mereka mengundi.

"Saya menggalakkan kakitangan saya untuk mendaftar sebagai pengundi sejak lima tahun lalu dan berjanji untuk membantu mereka pulang mengundi apabila tiba masanya," katanya.

Sumber: Mstar Online