Makkal Sakti Buat Laporan Polis Terhadap Tun M


BUTTERWORTH – Parti Makkal Sakti Malaysia semalam membuat empat laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa mengucapkan perkataan ‘keling’ pada ucapan umumnya yang disifatkan menghina kaum India di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata perkataan yang diucapkan oleh Dr. Mahathir itu dianggap berbaur rasis dan tidak patut sama sekali dinyatakan oleh seorang bekas pemimpin yang sememangnya arif tentang penduduk negara ini yang berbilang kaum.

“Pada dua hari yang lepas semasa pelancaran manifesto parti (Pakatan) Harapan, beliau telah mengeluarkan satu perkataan yang mana beliau sehingga hari ini tidak mahu memohon maaf terhadap kaum India. Ia benar-benar mengguris hati kami,” kata Thanenthiran pada sidang akhbar di hadapan Balai Polis Butterworth, di sini.

Beliau turut menggesa Dr. Mahathir supaya membuat permohonan maaf secara terbuka pada bila-bila masa di samping berharap polis akan menjalankan siasatan, tindakan dan tangkapan ke atas Dr. Mahathir supaya masyarakat India tidak lagi dihina oleh mana-mana pihak. – Bernama