Malaysia Tidak Akan Muflis, Kata KSU Perbendaharaan


SARIKEI – Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini sekali lagi menolak dakwaan bahawa Malaysia akan menjadi negara muflis tidak lama lagi

“Ini tidak benar sama sekali dan ia merupakan perbuatan beberapa orang yang tidak beretika, yang menyiarkan berita tidak benar melalui Internet.

“Sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang bertanggungjawab bagi pengurusan kewangan negara, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia berada di landasan ekonomi yang amat kukuh,” katanya pada majlis perasmian festival NBOS pertama Sarawak, yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini semalam.

Beliau berkata, tahun lepas, Malaysia mencatat kadar pertumbuhan 5.9 peratus dan tahun ini kadarnya dijangka meningkat kepada enam peratus.

Menurut beliau, satu lagi bukti jelas ialah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan meningkatkan jumlah bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pelbagai kategori.

Katanya, perdana menteri memutuskan bahawa selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kumpulan yang menerima bayaran BR1M sebanyak RM400 akan ditambah kelayakan mereka untuk menerima RM800 bagi bayaran pada Jun dan Ogos.

Mereka yang memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah akan mendapat RM2,000, katanya.

Mohd Irwan berkata mereka dalam kumpulan pendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan pula akan menerima RM1,500.

“Kemudian, kita ada kategori baharu melibatkan mereka yang berpendapatan antara RM4,000 dan RM5,000, yang akan menerima bayaran BR1M sebanyak RM700,” katanya.

Menurut Mohd Irwan, tahun lepas, Malaysia menerima pelaburan asing berjumlah RM39.2 bilion.

“Semua ini menunjukkan bahawa ekonomi negara ini sangat kukuh dan bukan seperti yang disangka kumpulan manusia seperti itu,” katanya.

Beliau juga berkata Sarawak berada dalam keadaan amat baik dan berkembang dengan pesat. – Bernama