“Malaysian Malaysia” DAP Gugat Kepentingan Melayu


KUALA LUMPUR – Bapa Kemerdekaan negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman pernah menjelaskan kepada bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times, Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad mengapa Singapura disingkir dari Malaysia pada tahun 1965.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Tunku Abdul Rahman menjelaskan Singapura dikeluarkan dari Malaysia kerana Lee Kuan Yew melalui partinya People’s Action Party (PAP) membakar sentimen perkauman “Malaysian Malaysia”

“Malaysian Malaysia” satu dasar sosialis untuk menyamaratakan semua. Ini dilihat menggugat sistem beraja, hak istimewa orang Melayu, kedudukan bumiputera dan lain-lain di negara.

“Tapi Lee Kuan Yew bijak. Apabila Singapura dan PAP dikeluarkan dari Malaysia, beliau melalui kader-kader PAP berfahaman sosialis menubuhkan Democratic Action Party (DAP) di negara ini di mana Lim Kit Siang antara penggeraknya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Annuar berkata, sejak itu, virus “Malaysian Malaysia” terus cuba dibiakkan melalui DAP untuk mereka mencapai hasrat menguasai politik Malaysia, malah hingga hari ini DAP masih menjalin hubungan dengan gerakan sosialis antarabangsa.

“Cita cita dan dasar mereka tetap tidak berubah walau pendekatannya kini berlainan iaitu menaja tokoh dan parti Melayu untuk memecahbelahkan kuasa politiik Melayu,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh memuatnaik petikan dalam bahasa Inggeris kata kata Tunku Abdul Rahman apabila ditanya mengapa Singapura dikeluarkan dari Malaysia kerana dasar “Malaysian Malaysia” seperti berikut:

Tan Sri Abdullah Ahmad:“Why did you not entertain Lee Kuan Yew’s plea for a looser federation instead of separation?

The Tunku: “If I had agreed to what he wanted, he would be a good boy for a while. Then he would go back to his old ways of trying to create ill will between the Malays and the Chinese through the Malaysian Malaysia campaign. I thought for a long time, you know, and I was in close touch with Razak, that the best way was to go on our separate ways but remain good friends. I simply could no longer work with nor trust Lee Kuan Yew” (Abdullah Ahmad, Conversations with Tunku Abdul Rahman, 2016).

Perkara sama pernah disahkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila menyebut DAP adalah ‘anak butir tahi’ PAP ketika mengulas punca parti Islam itu enggan kembali berkerjasama dengan DAP dalam Pakatan Harapan.

Kata Abdul Hadi, Singapura adalah bapa DAP yang memerintah negara itu adalah PAP.

“Dulu Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar dari Malaysia, PAP tukar jadi DAP. Jadi, DAP ini anak butir tahi PAP. Sebut dengan bahasa yang kasar sedikit,” katanya dalam satu ceramah di Terengganu pada 10 April tahun lalu.

DAP ketika ini sebahagian daripada parti pembangkang yang menganggotai gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. - Kedahnews.com