Manifesto BN: 69 Projek RTB Hadapi Banjir


KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan memperkasakan kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir melalui perlaksanaan 69 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara dengan kos RM8.57 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN berkata melalui RTB hampir 1.5 juta rakyat negara ini akan menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Jumlah kamera litar tertutup definisi tinggi (CCTV HD) di semua kawasan yang kerap berlakunya jenayah dan jumlah Rakan Cop serta Polis Bantuan terlatih dalam kawasan kejiranan akan ditambah.

Perkara berkenaan antara yang terkandung dalam Manifesto BN sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan Najib hari ini yang bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’:

Menambah jumlah anggota Skim Rondaan Sukarela.

Membina Penjara Khas dengan sistem keselamatan elektronik bersepadu.

Membina Pusat Penjagaan dan Pemulihan Dadah di kawasan strategik dan menaik taraf pusat-pusat sedia ada.

Meluaskan inisiatif Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan 3.0 (PDH 3.0).

Menambah pos kawalan dan sistem pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia – Agensi Kawalan Keselamatan Malaysia AKSEM dan AKSEMNET.

Memasang lebih banyak lampu jalan di kawasan-kawasan luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Meneruskan geran Komuniti Penduduk 1Malaysia untuk semua persatuan penduduk.

Menyediakan dana sebanyak RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan penggantian lampu jalan sedia ada di luar bandar.

Meluaskan peranan khidmat kawalan komuniti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mentransformasi pasulan elit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Ptugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) demi keamanan rakyat.

Menyebar luas usaha menentang keganasan dan ektremisme melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Meningkatkan pembabitan masyarakat dalam pencegahan jenayah menerusi inisiatif PDRM menggunakan aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’.

Meningkatkan kerjasama kerajaan dengan peneraju industri pertahanan tempatan bagi menghasilkan teknologi pertahanan keluaran Malaysia.

Meremajakan komuniti Rukun Tetangga dengan menyasarkan 30 peratus golongan belia dalam kepimpinan jawatankuasa Rukun Tetangga.

Menubuhkan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di bawah Kementerian Pertahanan.

Meluaskan diplomasi pertahanan serantau dengan negara-negara jiran yang berkongsi sempadan.

Meneruskan usaha menyebar luas idea keamanan dan kesederhanaan dalam negara dan antarabangsa menerusi penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

Melaksanakan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) di seluruh negara.

Meneruskan usaha pemodenan PDRM ke seluruh negara.

Mewujudkan inisiatif khas bagi meningkatkan peranan pemimpin komuniti dalam membantu Jabatan Imigresen menyelesaikan isu pendatang tanpa izin (PATI).

Memastikan semua lokap Polis di seluruh negara dilengkapi dengan kamera litar tertutup berdefinisi tinggi.

Memperkasakan inisiatif Program Rawatan dan Pemulihan Komuniti untuk Penagih Dadah (CRPD).

Memperkasa sukarelawan negara melalui sistem pendaftaran awal dan latihan khusus bagi mensiap siaga mereka menghadapi bencana secara lebih efektif.  - Bernama