Manifesto BN: Cuti Paterniti 10 Hari Jika BN Menang


KUALA LUMPUR – Cuti paterniti lebih panjang untuk kakitangan sektor awam dan kenaikan jumlah unit amanah ADAM50 adalah antara janji Barisan Nasional (BN) yang ditawarkan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilancarkan semalam.

Dalam manifesto yang bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’, BN berjanji membenarkan kakitangan lelaki sektor awam bercuti tanpa rekod selama 10 hari apabila isteri melahirkan anak.

Pada masa ini, kakitangan lelaki sektor awam menikmati cuti paterniti berbayar selama tujuh hari bagi menjaga isteri bersalin.

BN juga bercadang meningkatkan jumlah pemberian unit amanah percuma ADAM50 untuk membantu ibu bapa muda menjamin masa depan yang cerah untuk kelahiran baharu sekiranya terus diberi mandat membentuk kerajaan.

Dalam usaha memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi turut menawarkan:

Pelaksanaan polisi Penjagaan Awal Kanak-Kanak Universal dengan memformulasikan kurikulum, program inklusif, pemakanan bernutrisi dan melatih tenaga pengasuh profesional sebagai persediaan kepada kanak-kanak yang bakal menjadi pewaris negara.

Mengangkat status nutrisi kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun dalam kalangan keluarga miskin tegar.

Mendorong majikan untuk menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dengan insentif khas selepas pelepasan cukai.

Memberikan insentif kepada syarikat yang menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak dan fasiliti untuk ibu-ibu yang menyusukan bayi.
Memperuntukkan cuti khas tujuh hari setahun kepada wanita yang menjaga anak atau saudara terdekat yang sakit.

Mewujudkan khidmat pusat sehenti yang menempatkan pusat jagaan kanak-kanak dan pusat usahawan untuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di bawah kelolaan Gabungan Penerokawati Felda Malaysia di semua petempatan Felda.  - Bernama