Manifesto BN 'Makbul' Impian OKU


KUALA LUMPUR - Impian orang kelainan upaya (OKU), terutama belia, 'dimakbulkan' dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang menekankan kepentingan kebajikan golongan itu tanpa diskriminasi.

Pengasas dan Pengerusi OKU Sentral, Ras Adiba Radzi, berkata manifesto khas BN untuk orang muda menawarkan nilai tambah yang membolehkan OKU merebut peluang sama rata seperti orang lain.

Beliau berkata, inisiatif digariskan dalam manifesto itu amat penting kerana antara lain dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan berkenaan.

"Pertama ialah latihan yang menjadi asas paling utama dalam pembangunan insan. Tanpa pengetahuan dan kemahiran betul, bukan hanya OKU, malah mereka yang cukup sifat pun akan gagal dalam pekerjaan atau perniagaan diceburi.

"Kedua ialah peluang pekerjaan. Ramai OKU disisihkan akibat kekurangan mereka. Komuniti gagal melihat keupayaan mereka, sedangkan golongan seperti kami boleh menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara.

"Kami bukan mahu menuntut pengiktirafan tertinggi atau simpati mana-mana pihak. Cukup dengan memberi golongan OKU peluang sama seperti orang lain supaya dapat membuktikan kepada semua bahawa kami boleh menyumbang sesuatu dalam komuniti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, merasmikan manifesto khas BN bertema 'Jaminan Orang Muda: Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa lalu.

Manifesto itu menyasarkan lapan inisiatif yang memberi peluang luas kepada orang muda membabitkan pelbagai latihan dan kemahiran melalui platform bersesuaian.

Antaranya, golongan OKU akan dilatih secara dalam talian supaya dapat membina kerjaya tanpa berlaku sebarang diskriminasi.

Sumber: BH Online