Manifesto BN Terbaik, Fokus Sabah, Sarawak


KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menyifatkan manifesto Barisan Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai terbaik dan menyeluruh serta mengambil kira denyut nadi rakyat, termasuk memberikan fokus dan perhatian yang khusus kepada kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau juga berkata manifesto untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) itu lebih realistik dalam memastikan kejayaan pembangunan negara dalam fasa yang seterusnya.

“Sememangnya hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sentiasa diberikan keutamaan yang tinggi oleh pucuk pimpinan negara.

“Kita yakin bahawa penegasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengembalikan dan memelihara hak dan kepentingan kita (Sabah) dalam MA63 dan diperkuatkan lagi menerusi manifesto ini adalah bukti kesungguhan dan keikhlasan beliau kepada pemimpin dan rakyat di Sabah selama ini.

“Kaedah konsensus inilah cara dan pendekatan yang kita laksanakan iaitu menerusi perundingan dan perbincangan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang banyak membuahkan hasil dan kejayaan kepada kita,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Musa, yang juga Pengerusi BN Negeri, juga percaya dari segi liputan telekomunikasi dan konsep Satu Negara Satu Harga akan memberikan lebih banyak manfaat kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.  - Bernama