“Masa Jual 1 Kilo, Timbang Balik 500 Gram Jer”


TIDAK seperti kebanyakkan peniaga tempatan yang mempunyai lesen perniagaan, warga asing kini semakin berani mengusahakan perniagaan mereka secara haram di negara ini.

Di kawasan sekitar Pasar Harian Selayang contohnya, boleh dikatakan setiap sudut kawasan tersebut termasuk yang berniaga di dalam pasar dipenuhi penjaja asing, baik yang muda hinggalah ke pertengahan umur.

Dengan menjual longgokan barangan basah seperti makanan laut dan sayuran, segelintir penjaja asing ini menjadikan medium itu untuk menjalankan aktiviti penipuan kepada pelanggan yang terdiri daripada rakyat tempatan.

Terbaharu, seorang pelanggan wanita berkongsikan pengalamannya nyaris ditipu oleh seorang penjaja asing ketika membeli barangan basah di pasar borong berkenaan.


Menerusi perkongsian di laman Facebook, Naey Lotfi mendakwa udang sebanyak sekilogram yang dibelinya hanya mempunyai timbangan sebanyak 500 gram apabila dia menimbang semula makanan laut itu setibanya di rumah.

“Sekitar jam 10 pagi Sabtu di Pasar Borong Selayang, kami telah membeli udang sebanyak 1 kilogram (kg) dengan harga RM30 per sekilogram.

“Setelah tawar menawar saya memperolehi dengan harga RM28 untuk sekilogram udang.

“Ketika itu tiada yang meragukan memandangkan mereka (peniaga warga asing) memaparkan timbangan sebanyak 1kg bagi udang yang dibeli (tidak termasuk ais) dan kemudian mereka meletakkan ais di dalam plastik udang tersebut.

“Pada masa itu saya hanya memikirkan mungkin mereka meletakkan ais tujuannya untuk udang berkenaan tahan lama dan saya pulang ke rumah bersama suami.

“Keesokannya, terdetik untuk saya menimbang balik udang yang dibeli semalam memandangkan di rumah saya ada alat penimbang yang dibeli untuk buat kek.


“So surprisingly, timbangan hanya menunjuk sebanyak 500 gram sedangkan saya beli semalam sebanyak 1kg… Panas beb kena tipu,” tulisnya.

Berang dijadikan mangsa penipuan, mangsa keesokkannya bersama suami menuju semula ke pasar basah berkenaan bagi menuntut semula lebihan udang yang sepatutnya telah dibeli daripada peniaga warga asing berkenaan.

“Jadi kami membawa udang yang dibeli semalam bersama dengan timbangan dari rumah menuju ke lokasi semalam, walaupun diorang pada hari ini bertukar lokasi di sekitar Pasar Borang Selayang, tapi kami masih cam muka-muka tersebut.

“Kamu cuba untuk menuntut hak kami dan menasihatkan mereka untuk membuat timbangan yang betul, pada mulanya mereka berdolak dalih dan akhirnya akur menggantikan balik udang tersebut sebanyak 500 gram lagi.

“Di sini saya syak mereka telah menipu kiraan dengan berat timbangan yang kurang di mana alat penimbang merek telah di ‘adjust’ ketika jual beli,” katanya.

Sementara itu di ruangan komen, majoriti netizen meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas terhadap penjaja warga asing ini yang ‘bermaharajalela’ menjalankan aktiviti perniagaan haram tanpa mengikut peraturan dan undang-undang.

Iyalah, peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan diberikan pelbagai peraturan ketat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sehinggakan premis mereka siap ‘dilanyak’ oleh majlis perbandaran.

Walhal penjaja asing pula dibiarkan menjalankan perniagaaan mereka secara berleluasan tanpa sebarang pemantauan, seolah-olah berada di dalam negara sendiri.

Justeru, para pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terperdaya dengan kegiatan jual beli tidak beretika daripada peniaga warga asing ini.

Jangan menyokong perniagaan mereka walaupun mereka menawarkan harga yang murah, kerana ternyata dengan jelas warga asing ini telah melanggar undang-undang dan peraturan sejak dari mula lagi. - Kedahnews.com