Memori Hitam Pekan Jitra Kedah


Jitra merupakan sebuah pekan yang begitu indah dengan permandangan sawah padinya. Sekali pandang anda pasti tidak akan terjangka akan memori hitam yang berlaku di pekan Jitra ini.Jitra mempunyai kisah peritnya yang tersendiri pada suatu ketika dahulu apabila menyaksikan pertempuran antara tentera British dengan askar Jepun yang masuk ke Tanah Melayu melalui negara jiran iaitu Thailand.

Ramai masyarakat yang tidak mengetahui akan wujudnya laluan masuk askar Jepun ke Tanah Melayu melalui utara tanah air dan bukan sahaja melalui kelantan, untuk makluman pembaca setia. Pekan ini dinamakan sebagai Battle of Jitra atau Pertempuran Jitra kerana pekan tersebut merupakan pengkalan bagi Tentera British dan merupakan benteng pertahanan di bahagian utara tanah air.


Peristiwa ini hanya berlaku dalam masa dua hari sahaja dan dalam masa dua hari itu sudah cukup untuk tentera Jepun melumpuhkan pertahanan British di Jitra.Apabila British tidak mampu bertahan dengan serangan daripada Jepun, akhirnya British melakukan pengunduran.

Situasi ini berpunca daripada sikap British yang sombong dan memandang rendah pada kekuatan tentera Jepun, sedangkan Jepun telah menghantar pasukan keselamatan berpengalaman dalam menguasai Indo-China. Tentera British berundur dan menuju ke Jitra apabila mendapat pelbagai serangan daripada tentera Jepun.


Kawasan Manggol menjadi saksi malang British disebabkan oleh sikap angkuh British yang tidak mahu menjatuhkan maruah mereka di hadapan orang Melayu.Padahal penduduk tanah air arif mengenai jalan di situ.Peristiwa ini berlaku semasa hujan lebat melanda kawasan tersebut disebabkan musim tengkujuh pada ketika itu.

Parit yang dibina oleh tentera British habis musnah akibat hujan yang begitu lebat, kubu mereka habis digenangi air.Keadaan ini menunjukkan betapa teruknya strategi British pada ketika itu. Jitra merupakan harapan terakhir tentera British untuk mengekang kemasukan tentera Jepun kerana Jitra merupakan kawasan yang strategik dan terletak berhampiran dengan garisan sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Namun disebabkan sikap sambil lewa tentera British kawasan ini dapat dikenal pasti oleh tentera Jepun serta berlakunya juga pengkhianatan dalam kalangan tentera British dan akhirnya tentera Brtish dapat dikalahkan.Serangan udara daripada tentera Jepun menyebabkan British tidak mampu untuk bertahan lagi dan akibatnya tentera British lari masuk ke dalam hutan dengan meredah sungai dan paya yang berlumpur. 


Akhirnya kawasan Jitra jatuh ke tangan Tentera Jepun setelah tentera British tidak mampu lagi bertahan apabila bertempur dengan pihak Jepun.British meninggalkan 50 pucuk senjata medan, 50 mesin gan berat, 300 trak dan kereta perisai.Tentera Jepun menemui peluru dan bekalan makanan yang ditinggalkan dan cukup untuk digunakan selama tiga bulan.

Selain itu, seramai 3000 orang askar India telah menyerah diri apabila tentera Jepun berjaya menguasai hutan sekitar Jitra.Maka bermulalah pemerintahan Jepun di Jitra.Detik penaklukan Jepun secara mengejut telah memberikan kesan yang begitu mendalam kepada penduduk di Jitra kerana dikhabarkan bahawa penaklukan tentera Jepun lebih dahsyat daripada penaklukan tentera British.