PETALING JAYA - Hati mana tidak sedih apabila anak lelaki yang berusia enam tahun maut, disyaki akibat didera sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus.
Dilaporkan, kanak-kanak malang itu, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, meninggal dunia dipercayai perbuatan teman lelaki ibunya pada Rabu lalu.
Bapa kanak-kanak itu, Hairil Khan Azali, 32, meluahkan perasaannya di laman sosial Facebook pada awal pagi Sabtu mengenai anak kesayangannya yang lebih mesra dengan panggilan Yatt.
“Puasa pun tak lama dah, lepas tu nak raya. Masih ada ke kebahagiaan untuk kali ni. Please stop crying, please (tolonglah berhenti menangis).
“Siapa kata aku kuat. Aku memang tak kuat. Belum puas nak rasa kasih sayang dia. Belum puas nak jaga dia. Banyak benda aku rancang untuk dia. Tapi tak sampai hajat aku tu. Hari lahir aku 5 Mac pun Yatt dah janji.”
Abah (panggilan bapa): Adik nak bagi hadiah apa untuk birthday abah nanti?
Yatt: Abah nak apa?
Abah: Abah nak kereta nak rumah.
Yatt: Nanti bila Uyat besar... Uyat beli rumah beli kereta bagi abah. Sekarang ni Uyat tak da duit.
Hairil berkata, kali terakhir dia bertemu Mohamad Rayyan yang merupakan anak tunggalnya bersama bekas isteri adalah 5 Mac lalu, hari ulang tahunnya yang ke-32.
Malahan menjelang hari ulang tahunnya, Hairil yang menetap di Beseri, Perlis berkata, kedua-dua mereka beberapa kali berhubung menerusi pesanan suara menggunakan aplikasi mudah alih, WhatsApp.
“Yatt ni seorang yang cerdik, manja, mendengar kata dan petah bercakap. Dia lebih gemar menggunakan pesanan suara bila bercakap dengan saya.
“Kami berjumpa masa hari ulang tahun saya 5 Mac lalu. Biasanya kalau berjumpa, dia suka main telefon saya, tapi hari tu dia agak berbeza.
“Yatt asyik panjat belakang badan saya... banyak kali dia peluk dan cium saya. Saya tak sangka ‘birthday’ saya tu adalah yang terakhir jumpa dia,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.
Namun Hairil yang bekerja sendiri berkata, anaknya yang menyukai permainan robot pernah bersuara mahu dihadiahkan jam tangan robot.
“Saya ada belikan jam tangan robot untuk Yatt. Pada pertengahan Mac lalu, saya sepatutnya berjumpa lagi dengan Yatt untuk sampaikan jam berkenaan.
“Tapi saya tidak berpeluang berjumpa dengan dia ketika itu dan hanya menyerahkan jam tangan berkenaan kepada bekas mak mertua,” katanya sambil menambah terputus hubungan dengan anaknya sejak itu.
Walaupun hasrat tersebut ditunaikan, tetapi Hairil berasa terkilan kerana tidak sempat melihat anaknya itu memakai jam tangan robot pemberiannya.
“Kalau dia masih ada, saya akan cakap: “Yatt... abah dah belikan jam tangan robot, harap Yatt suka hadiah daripada abah.”
“Saya reda dengan ketentuan Allah mengenai hidup anak saya setakat ini saja. Tapi pasal siapa yang dera tu antara dia dengan Tuhan, saya tak masuk campur. Biarlah Tuhan yang membalasnya,” katanya dengan nada sebak.
Suspek lelaki berumur 26 tahun yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan ibu mangsa berusia 31 tahun ditahan kira-kira pukul 8 malam Khamis ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dan direman sehingga 26 April bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sumber: Mstar Online