Menjelang PRU14: Bimbang Susah Dapat Kerja? Ada Berita Baik Untuk Anda!


KUALA LUMPUR - Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, sudah tentu isu pengangguran dan pekerjaan menjadi antara isu tumpuan rakyat.

Setiap pihak yang bertanding pasti perlukan rancangan terperinci untuk menurunkan kadar penggangguran dan menambah peluang pekerjaan bagi meraih sokongan rakyat.

Walaupun pasaran pekerjaan agak mencabar sejak dua atau tiga tahun lalu, kini ada berita baik untuk rakyat Malaysia!

Menurut portal pencarian kerja atas talian, Monster.com, aktiviti pengambilan pekerja secara atas talian di Malaysia meningkat 11 peratus dari Februari 2017 ke Februari 2018.

Dapatan ini merupakan hasil tinjauan portal itu yang diterbitkan di dalam Indeks Pengambilan Kerja Monster, laporan pasaran kerja bulanannya, yang mula diterbitkan sejak 2015.

Monster.com berkata, bagi tempoh ini, industri yang mengambil pekerja paling ramai adalah teknologi maklumat, telekom, penyedia perkhidmatan internet serta BPO/ITES dengan peningkatan pengambilan pekerja sebanyak 52 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, industri logistik, kourier, pengangkutan komersial serta marin dan perkapalan mengambil 45 peratus lebih ramai pekerja dari Februari 2017 ke Februari 2018.

Industri minyak dan gas juga tidak jauh di belakang, dengan pengambilan pekerja yang meningkat 41 peratus tahun ke tahun, selepas beberapa tahun industri itu berdepan persekitaran yang mencabar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com, Abhijeet Mukherjee, pertumbuhan ini selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan pada suku keempat 2017.

“Kami melihat lonjakan dalam persaingan untuk mengambil bakat-bakat dalam industri teknologi, e-dagang dan perkhidmatan professional.

"Ini menandakan permintaan yang kukuh untuk set kemahiran khusus selaras dengan keperluan pasaran tempatan dan global yang berubah.

“Pelajar dan pekerja mestilah sentiasa berada satu langkah di hadapan trend industri untuk memahami dan meramal keperluan pasaran yang berubah-ubah, dan secara konsisten meningkatkan kemahiran mereka untuk mencari peluang baru,” katanya.

Sumber: Awani