Menyesal Cerita Sakit Saya Dekat Orang – Elyana


KEPADA mereka yang tidak mengetahui tentang kondisi kesihatan Elyana, pasti akan anggap dia sihat walafiat tanpa sebarang penyakit jika dilihat melalui karakternya kelihatan aktif dan ceria.

Ketika diumumkan tersingkir daripada program nyanyian GegarVaganza 4 pada tahun lepas, Elyana atau nama sebenarnya Emilya Elyana Emrizal mengambil keputusan untuk mendedahkan kepada umum bahawa dia menghidap kanser Limfoma tahap empat sejak tujuh tahun lalu.

Rutin hariannya juga sering dipenuhi dengan sesi rawatan berterusan untuk penyakitnya itu namun Elyana masih mengambil keputusan untuk keluar bekerja memenuhi undangan nyanyian sekiranya mampu.

Sejak menceritakan tentang penyakitnya itu kepada orang ramai, laman media sosial Elyana menjadi tumpuan memandangkan mereka mahu mengambil tahu akan kondisi semasanya.

Jelas pelakon filem Dukun itu,, dia memilih untuk memperlihatkan sisi positif dirinya dan sebolehnya mahu mengelakkan dari bercerita tentang keadaan penyakitnya.

Dia juga tidak menolak bahawa kadangkala timbul rasa menyesal mendedahkan penyakit yang dilaluinya itu kepada orang ramai.


“Kadang-kadang saya ada juga terdetik rasa menyesal mendedahkan tentang penyakit saya ini kepada umum kerana ada yang menuduh saya mengada-adakan cerita apabila melihat saya masih ke sana sini dan aktif bekerja.

“Dulu saya tertekan kerana terpaksa menyembunyikan kondisi sebenar diri saya kepada orang ramai, tetapi sekarang stres kerana persepsi dan pandangan negatif yang dilemparkan kepada saya pula,” katanya dipetik portal Sinar Harian.

Sejak mendedahkan kondisi kesihatannya itu, Elyana berkata dia merasakan seolah-olah apa saja tindakan yang diambilnya dipandang buruk netizen dan dianggap salah oleh mereka.

“Sampai satu tahap saya fikir hidup kita ini seperti serba tak kena di mana pergi kanan salah, kiri pun salah dan begitulah seterusnya. Jadi akhirnya saya putuskan untuk buat saja apa yang boleh buat saya gembira,” luahnya.

Tambah penyanyi berusia 31 tahun itu, dia sebenarnya tidak mengambil pusing dengan kata-kata kecaman yang dilemparkan oleh netizen yang mempertikaikan kondisi kesihatannya.

Namun, Elyana menjelaskan bahawa dia hanya seorang manusia biasa dan kadangkala emosinya terganggu apabila segelintir netizen yang bertindak keterlaluan.

“Saya memang tak layan sangat kecaman netizen, tapi bila dah melampau saya pun tak dapat tahan juga. Itu yang membuatkan saya kadang-kadang melepaskan perasaan di Insta Story.

“Saya tak suka nak tunjukkan keadaan sakit saya kerana tidak mahu berada dalam keadaan yang murung, diam dan tentunya akan buat orang rasa tak selesa dengan saya.

Justeru, Elyana berkata dia akan sentiasa tampil aktif dan ceria di hadapan orang ramai memandangkan personaliti dirinya sejak dahulu sememangnya begitu. – Kedahnews.com