Mufti Tegas Muslimah Biadab Berpakaian Seksi Di Masjid Boleh Diusir


MARUAH… Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut menegaskan, individu biadab tidak patuh etika pakaian di rumah ibadat malahan buat provokasi berhak dihalau.

Mengulas etika pemakaian tutup aurat di masjid, beliau berkata, individu yang sengaja ingkar peraturan ditetapkan itu boleh dikenakan tindakan kerana penentuan kod pakaian tersebut bukanlah sesuatu yang amat mengongkong.

Sebaliknya ia diwujudkan pihak pengurusan masjid yang bertujuan untuk memelihara kemuliaan rumah Allah SWT yang tentunya jauh tidak sama dengan suasana berpakaian ketika berada di pasar, pejabat, hotel atau taman tema.

“Ini cegah individu tidak mematuhi etika berpakaian ketika berada di tempat suci itu dan sekiranya tindakan itu adalah satu bentuk yang boleh dianggap sebagai provokasi ataupun pengingkaran terhadap peraturan masjid.

“Bahkan pihak pengurusan masjid terbabit sebenarnya berhak meminta mereka untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengambil tindakan bersesuaian atas tindakannya di bawah kuasa diberikan pejabat agama.”


Selain itu, Zulkifli juga berkata, secara umumnya setiap rumah ibadat mana-mana agama pun ada menetapkan kod etika pemakaian tersendiri walaupun ia mungkin tidak zahir tertera secara jelas dalam kitab suci masing-masing.

Ia dapat dilihat jelas di seluruh dunia antaranya Kuil Angkor Wat di Kemboja, Gereja Pope di Vatican City, Kuil Sri Mariamman di Singapura dan Synagogue Yahudi terkenal iaitu Whitefield Hebrew Congregation di Britain.

“Pergilah sama ada ke gereja Kristian, kuil Hindu, gurdwara Sikh, wat Buddha dan tokong Tao di Malaysia, kesemuanya pun mempunyai kod etika pemakaian masing-masing yang dipatuhi dan dihormati sekian lamanya.

Ajaran Islam kata beliau seperti dipetik dalam sebuah akhbar tempatan, amat menekankan untuk menghormati maruah masjid, dan begitu juga rumah-rumah ibadat agama lain malah isu tersebut bukan pun perkara baharu.

“Penghormatan yang diberikan oleh Islam ini menunjukkan betapa Islam mengiktiraf kewujudan agama-agama lain dan memelihara hak-hak mereka,” jelas Zulkifli merujuk insiden di Masjid Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kes tular itu melibatkan seorang aktivis propembangkang, Maryam Lee yang menimbulkan kemarahan pengguna media sosial bukan Islam selepas mendakwa dihalau keluar dari masjid itu hanya kerana memakai pakaian seksi.

Wanita tersebut dengan biadab mendakwa konon masjid di Jogjakarta, Indonesia tidak akan berani menghalaunya keluar walaupun berpakaian sebegitu mencolok mata kalangan jemaah lelaki Muslim. – Agensi