Mukhriz Kalah Punca Dr. M ‘Isytihar Perang’ – Najib


KUALA LUMPUR – Kekalahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam pemilihan Naib Presiden UMNO pada 2013 bertitik-tolak daripada bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘mengisytiharkan pe­rang’ terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, beliau tidak me­nolak secara mentah cada­ngan Dr. Mahathir untuk menjadikan anaknya itu sebagai Naib Presiden, sebaliknya meminta su­paya Mukhriz membuktikan kemampuannya terlebih dahulu.

“Pada ketika itu Mukhriz bukan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tetapi bertanding sebagai Naib Presiden. Saya mahu beliau buktikan kemampuannya dahulu sebelum memegang jawatan.

“Bagi saya, Mukhriz ketika itu terlalu awal untuk menjadi Naib Presiden parti dan sejak itu, Dr. Mahathir secara terbuka menentang saya,” katanya dalam sesi wawancara dengan media antarabangsa, Bloomberg, Jumaat lalu.

Tambah Najib, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang obses untuk mengawal semua perkara dan menjadi pembuat keputusan walaupun selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Beliau mahu saya dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjalankan apa yang dia tidak dapat habiskan. Contohnya projek jamba­tan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor. Dia marah kepada Abdullah kerana batalkan projek jambatan bengkok dan tidak mahu mendengar arahan beliau.

“Dalam kes saya pula, beliau marah apabila saya tidak meneruskan obsesinya untuk membina jambatan bengkok itu dan lagi satu sebab besar adalah kekalahan Mukhriz dalam pemilihan Naib Presiden UMNO,” katanya.

Tambah Najib, Dr. Mahathir juga pernah mencadangkan untuk menubuhkan majlis penasihat bekas pemimpin.

“Sudah tentu anda boleh ba­yangkan siapa yang akan mempengerusikan majlis itu dan saya pasti saya akan ke pejabatnya untuk mendapat restu daripa­danya untuk membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Sumber: Utusan Online