Naik Taraf Internet Kawasan Luar Bandar, Program Desa Digital Diperkenal


ALOR SETAR - Kerajaan telah menunaikan janji untuk tidak mengenepikan semua peringkat golongan daripada arus pembangunan termasuk berkaitan ekonomi dan prasarana digital dengan melancarkan program Desa Digital peringkat kebangsaan, kelmarin.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi program berkenaan, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menaik taraf kemudahan capaian internet di kawasan luar bandar dari kelajuan sedia ada kepada 20 Megabit per saat (MBPS).

“Sebagai permulaan, Kampung Bemban yang terletak di daerah Jitra, dalam kawasan Parlimen ini dipilih untuk menjadi kampung perintis. Kami menyasarkan sebanyak 11 lagi kawasan luar bandar akan ditingkatkan capaian internetnya di bawah program ini sebelum 2018 berakhir.

“Itu merupakan fasa pertama. Dalam fasa kedua, kami telah membuat perancangan supaya 39 lagi kawasan luar bandar dapat mengikuti program ini,” katanya memetik Utusan Online.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program ber­kenaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Mini Kampung tersebut di Kubang Pasu.

Turut hadir sama dalam program tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah serta Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom.

Sementara itu, 11 lagi kawasan luar bandar yang akan mengikuti program tersebut dalam tahun ini ialah Serting Hilir di Jempol, Negeri Sembilan, Pasir Gajah di Kemaman, Terengganu serta Tagudon Baru di Ranau, Sabah.

Mengulas lanjut kriteria pemilihan kampung-kampung terbabit, Ismail Sabri menjelaskan, antara faktor yang diambil kira adalah kawasan tersebut mempunyai RTC Mini dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di kawasan berhampiran.

“Selain itu kampung tersebut juga perlu memiliki capaian internet sekurang-kurangnya 3G dan LTE selain tersenarai sebagai Kampung Desa Lestari di bawah program kementerian.

“Apabila program ini dilaksanakan, masyarakat di kawasan itu boleh mengakses kemudahan internet secara percuma dalam jarak lingkungan 50 hingga 100 meter dari RTC Mini serta PI1M di kawasan tersebut,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, katanya, pelancaran inisiatif Desa Digital itu juga diharap dapat membantu meran­cakkan lagi program DesaMall@Online yang dilancarkan kementerian tersebut sejak 21 Oktober 2017.

“Program yang bertujuan mem­bantu usahawan luar bandar memasarkan produk-produk desa secara dalam talian menerusi platform 11street itu sehingga kini telah menarik seramai 500 usahawan luar bandar untuk mendaftar melibatkan penjualan 425 produk.

“Menerusi pelancaran Desa Digital ini, kami harap jumlah itu akan meningkat sehingga mencapai jumlah 1,000 usahawan luar bandar untuk mendaftar sebelum penghujung tahun ini,” jelasnya.

Malah katanya, program berkenaan turut diyakini dapat membantu masyarakat luar bandar untuk menambah pendapatan menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan antaranya program eUsa­hawan dan eRezeki. - Kedahnews.com