ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi telah menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek Hospital Pendang yang bertempat di Kampung Banggol Pauh di Pendang.
Hospital separa pakar itu dibina pada tanah keluasan 17 hektar dengan kos RM210 juta dan dijangka bakal siap pada November 2021.
Hospital Pendang menyediakan pelbagai fasiliti dan mampu memuatkan sehingga 126 katil yang meliputi wad lelaki, perempuan, kanak-kanak, bersalin serta medikal.
Antara fasiliti yang bakal ditawarkan adalah dua dewan bedah, lapan suit bersalin, pengimejan dua X-ray dan satu ultrasound dan 18 ruang haemodialysis serta unit rehabilitasi.
Selain itu, hospital Pendang turut menjanjikan dan menyediakan 10 bidang kepakaran yang meliputi bidang perubatan am, pembedahan, ortopedik, pediatrik, kecemasan dan patologi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Roslan Md. Taha terlebih dahulu memberi taklimat kepada Perdana Menteri berkaitan projek berkenaan.
Turut sama hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya. - Kedahnews.com