Nawawi Nafi Tuduhan Bawa Masuk Uber Ke Langkawi


LANGKAWI - Ketua Bahagian Umno Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad hari ini menafikan tuduhan beliau membawa masuk perkhidmatan e-hailing Uber untuk beroperasi di Langkawi sejak tahun lepas.

Katanya, tuduhan yang dilemparkan melalui media sosial itu tidak berasas dan sengaja direka untuk menimbulkan kemarahan pemandu-pemandu teksi di pulau peranginan bebas cukai ini.

"Saya menyangkal tuduhan ini yang mendakwa sayalah orang yang membawa Uber ke Langkawi. Kalau hendak bersumpah (tidak melakukannya) pun boleh,” katanya dalam Majlis Penyampaian Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di sini.

Nawawi yang juga penyandang kerusi Parlimen Langkawi berkata sebaliknya beliau telah bertungkus lumus untuk mencari penyelesaian masalah yang dihadapi 1,350 orang pemandu teksi di sini yang mengalami penurunan pendapatan berikutan kehadiran perkhidmatan e-hailing.

Katanya pengenalan kad bantuan  yang mengandungi nilai prabayar RM800 setiap satu selain perlindungan insurans untuk pemandu teksi itu merupakan salah satu langkah kerajaan untuk membantu mereka.

Menurutnya kerajaan juga bersetuju untuk memberikan perlindungan insurans di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) khusus untuk pemandu-pemandu teksi di pulau ini. - Bernama