Nik Omar Tiada Aura Tok Guru


KOTA BHARU - PAS menyifatkan calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN)  Chempaka, Nik Omar Nik Aziz, tidak mampu membawa pengaruh bapanya, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata DUN Chempaka masih kubu kuat PAS walaupun Nik Omar bertanding di kerusi berkenaan.

Katanya, Allahyarham Nik Aziz sudah memberi nasihat cukup jelas di akhir hayatnya iaitu jangan sesiapa yang mengkhianati parti.

"Itu nasihat Allahyarham. Jadi, sekiranya mengatakan Nik Omar membawa pengaruh bapanya, namun bertanding atas parti lain, saya yakin beliau tidak mampu menarik aura Allahyarham untuk menarik undi," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Semalam, Nik Omar tampil membuat kejutan apabila hadir di pusat penamaan calon di Pengkalan Chepa untuk bertanding di DUN Chempaka.

Susulan tindakannya itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengesahkan Nik Omar dipecat serta-merta daripada PAS kerana bertanding tiket PKR.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yakin, tindakan Nik Omar bertanding atas tiket PKR tidak mendapat restu ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Katanya, perkara itu jelas apabila Tuan Sabariah hadir menyokong Nik Abduh yang bertanding di Parlimen Bachok.

"Kehadiran Tuan Sabariah di Bachok pagi semalam menjawab segala persoalan sama ada Nik Omar mendapat restu ibunya atau sebaliknya.

"Difahamkan, Nik Omar juga 'hilang' beberapa hari sebelum muncul di pusat penamaan calon semalam," katanya.

Sumber: BH Online