Pakatan Harapan Bakal Guna Logo PKR?


GABUNGAN pembangkang Pakatan Harapan (PH) akhirnya akur dengan hakikat yang ia akan memasuki pilihan raya umum pertamanya tanpa logo rasmi pakatan.

Pakatan pembangkang ini bakal menggunakan logo PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, memandangkan kelulusan logo bersama PH oleh Pendaftar Pertubuhan semakin suram dan pilihan raya umum semakin hampir.

Menurut sumber, rundingan terkini antara parti-parti komponen PH memutuskan untuk menggunakan logo PKR, parti komponen yang dianggap pilihan paling selamat dan tidak mencetuskan keresahan pengundi terutama yang berbangsa Melayu.

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengatakan PH akan memilih logo salah satu parti komponen untuk digunakan oleh semua bagi menunjukkan satu identiti.

PKR dipimpin oleh majoriti pemimpin Melayu dan masih mempunyai ahli Melayu yang ramai di peringkat akar umbi, termasuk di negeri dan kawasan yang lebih konservatif.

Penggunaan logo DAP akan menyentuh sensitiviti pengundi Melayu kerana imejnya sebagai parti Cina dan telah konsisten menunjukkan sikap cauvinis dan anti-Islam.

Logo PAN pula tidak menjadi pilihan kerana parti ini tidak popular dan dianggap oleh orang Melayu sebagai tunggangan DAP.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhadapan risiko dibubarkan kerana masalah peraturan pertubuhannya dengan Pendaftar Pertubuhan, menjadikan kemungkinan menggunakan logonya dalam PRU14 nanti hampir tiada.

Pemilihan logo mana-mana parti bagaimanapun tidak terkecuali daripada risiko kerana sentimen ahli, penyokong dan pengundi yang kesemuanya berbeza.

Sentimen ahli juga, yang mempunyai sikap tersendiri terhadap parti komponen lain tidak semestinya dapat diselarikan dengan kompromi yang dicapai pemimpin tertinggi yang membuat keputusan.

Keputusan memilih logo mana-mana ahli komponen PH boleh menunjukkan kesatuan identiti gabungan ini, tetapi masih terdedah risiko penerimaan ahli, pengundi dan juga politik kesan daripada pemilihan itu kepada parti yang logonya digunakan dan komponen lain yang akan terpaksa menyimpan logo parti sendiri masa pilihan raya nanti. - Kedahnews.com