Pakatan Umum Calon Kedah Selasa Depan


ALOR SETAR - Pakatan pembangkang dijangka mengumumkan senarai penuh calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi negeri Kedah pada Selasa depan yang membabitkan 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut sumber, calon pakatan berkenaan bakal diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas sumber itu, pengumuman itu akan dibuat pada program yang bakal berlangsung di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Kedah.

"Malam ini(Ahad) Tun M (Dr Mahathir) akan mengumumkan calon PPBM bagi DUN (Dewan Undangan Negeri) Kedah, ketika programnya di Langkawi.

"Itu adalah rancangan setakat ini. Ada dua bahagian (di Kedah) tak selesai lagi antaranya di kawasan Jerai. Kalau Jerai tak selesai, Tun mungkin tak umum (calon) lagi malam ini," katanya kepada Wartawan NSTP hari ini.

Ketika ini, Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Langkawi untuk jelajahnya di pulau lagenda itu.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir akan mengumumkan senarai penuh 36 kerusi DUN Kedah pada program di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, namun pada Jumaat lalu, tiada apa-apa pengumuman calon dibuat.

Sumber memberitahu NSTP, beberapa pembahagian kerusi DUN masih belum ada kata sepakat, sekali gus pengumuman pada malam itu terpaksa ditangguhkan. - Kedahnews.com