Parlimen Baling Wujudkan Pusat Tuisyen Di 8 Kampung KEDA


ALOR SETAR – Demi kebajikan untuk rakyat, Pejabat Parlimen Baling  bakal menyalurkan peruntukan demi mewujudkan pusat tuisyen di lapan kampung di bawah projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di daerah Baling.

Menurut Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, sebanyak RM10,000 akan diperuntukkan dan ia adalah satu daripada kerjasama pejabat Parlimen dan KEDA dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan anak-anak KEDA.

“Hanya melalui pendidikan sahaja penduduk di penempatan KEDA dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Paling utama, mereka (pelajar) ini akan terhindar daripada gejala dadah… mewujudkan pusat tuisyen antara langkah memastikan semua pelajar di kampung KEDA mendapat pendidikan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Rumah KEDA kepada seramai 191 penerima daripada kampung KEDA Sadek, Kampung KEDA Bandar dan Kampung KEDA Kledang bersempena Jelajah KEDA Di Hati Rakyat di Baling, kelmarin.

Sementara itu, Abdul Azeez turut memberitahu dana sebanyak RM5.6 juta atau 10 peratus dari RM56 juta yang disalurkan KEDA ke Baling dilihat sebagai satu nikmat kerana ia membantu penduduk di sini terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur.

Ujarnya, dengan peruntukkan tersebut pelbagai projek baik pulih dan pembinaan rumah baharu telah berjaya dilakukan dan ia membuktikan komitmen kerajaan negeri dan pusat dalam membantu penduduk luar bandar. - Kedahnews.com