Parlimen Pokok Sena Hangat, Jadi Rebutan Dua 'Legend'


POKOK  SENA - Bahang PRU14 sudah pun terasa dan pengundi hanya membilang hari untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih kerajaan baharu yang akan menentukan hala tuju politik pada lima tahun akan datang.

Pilihan raya kali ini dikatakan paling sengit dalam sejarah tanah air kerana dua parti utama Melayu mengalami perpecahan sehingga wujudnya parti baharu.

Dilema itu turut dirasai oleh pengundi di Parlimen Pokok Sena apabila Umno turut berpecah hingga melahirkan Bersatu dan Pas pula turut melahirkan kabilahnya yang baharu iaitu Amanah.

Walaupun berlakunya perpecahan pada kedua parti keramat Melayu itu, tetapi keduanya itu masih teguh dan terus berjuang hingga ke hari ini.

Parlimen Pokok Sena merupakan paling unik di Malaysia kerana satu-satunya Parlimen yang ditandingi oleh empat komponen Harapan sekali gus iaitu Amanah, Bersatu, Keadilan dan DAP.

Parlimen Pokok Sena mempunyai tiga Dun iaitu Dun Bukit Pinang, Bukit Lada dan Derga. Pada pilihan raya lalu, kesemua parti bertanding berjaya menawan kubu masing-masing dan ini menunjukkan pengundi di situ tidak mudah terpengaruh dengan pihak lain.

Bagaimanapun selepas berlakunya perpecahan di dalam Pas dan Umno baru-baru ini, kancah politik di parlimen itu semakin menarik hingga sukar diramal parti mana akan menjadi pilihan pengundi.

Mahfuz bertemu Radhi

Paling menarik dan panas pada kali ini ialah kerusi Parlimen Pokok Sena apabila Datuk Mahfuz Omar yang berhijrah dari Pas ke Amanah akan bertanding dengan legenda bola sepak Kedah, Radhi Md Din dari Pas.

Walaupun Mahfuz merupakan calon heavyweight di Pokok Sena tetapi beliau tidak boleh mendabik dada kerana Radhi juga mempunyai pengaruhnya juga terutamanya dari kalangan anak muda dan ulama di situ.

Mahfuz merupakan seorang yang berpengalaman serta turut merasai jatuh dan bangunnya dalam persada politik. Oleh itu  bukan calang-calang bagi mereka untuk menumbangkannya kerana masyarakat Pokok Sena sudah seperti sinonim dengan Mahfuz.

Bagaimanapun Radhi perlu bekerja keras bagi menawan kerusi parlimen itu kerana beliau hanya dikenali dalam kalangan pemuda sahaja tetapi masih kurang berpengaruh kepada pengundi dalam saluran satu.

Radhi perlu fahami dalam politik tidak sama seperti permainan bola sepak kerana dalam perjuangan kawan kadang kalanya menjadi musuh dan musuh pula boleh menjadi kawan.

Bagaimanapun, buat masa ini calon BN masih belum diumumkan lagi. Apa yang pasti pengundi BN di situ sudah tidak mahu lagi calon payung terjun seperti yang mereka alami pada PRU13 lalu.

Sayup-sayup mula kedengaran juga bahawa Datuk Said Ali Syed Rastan akan menjadi calon BN bagi Parlimen Pokok Sena pada kali ini. Apa pun kita tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat oleh Menteri Besar Kedah beberapa hari lagi.

Pas pertahan Dun Bukit Pinang?

Menyentuh mengenai Dun Bukit Pinang sudah pasti Pas bermati-matian akan mempertahankan kerusi itu yang dimenangi sejak lima penggal lalu.

Sejak sekian lama Bukit Pinang sukar ditawan oleh Umno dan jika calonnya diletakkan di situ diibaratkan seperti hanya sekadar memenuhi kerusi sahaja.

Dun Bukit Pinang merupakan kawasan yang unik kerana setiap calonnya perlu memiliki latar belakang agama. Ini disebabkan terdapat hampir 10 pondok agama yang dikatakan menjadi talian hayat kepada kemenangan Pas selama ini.

Faktor  seperti itu menyebabkan penyandangnya Wan Romaini Wan Salem berjaya mengekalkan kemenangan Pas di situ. Namun, masih selamatkah Wan Romaini pada kali ini apabila Harapan dan BN akan turut menjadi penghalangnya bagi meneruskan kejayaan Pas di situ?

Masa sudah berubah dan pengundi juga kian bertambah dan ini sudah pasti memberi landskap baru kepada politik di Dun Bukit Pinang. Berlakunya serpihan pada keris dan bulan pada  hari ini, bagi  penyandang, mereka  tidak harus yakin dan bersandarkan kepada keputusan lama.

Kerusi panas di Dun Bukit Lada

Tiba-tiba Dun Bukit Lada menjadi panas apabila kubu kuat Umno kini pengundinya tertanya-tanya siapa gerangannya pula untuk bertanding di situ. Mungkinkah Datuk Ahmad Lebai Sudin sebagai penyandang atau Datuk Ariffin Man iaitu Timbalan Umno Bahagian Pokok Sena?

Difahamkan kerusi itu menjadi panas apabila penyokong masing-masing mahukan kedua-dua datuk itu bertanding pada PRU14 nanti.

Bagaimanapun Pas yang dikatakan akan meletak seorang ulama muda (nama tidak diumumkan lagi) dan calon Bersatu, Mohd Aizat Roslan sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah  pada kali ini.

Walaupun kedua calon itu dikatakan masih muda tetapi perlu diingat gelombang rakyat hari ini banyak memihak kepada mereka.  Pengundi ada di antaranya tidak memandang calon tetapi lebih mementingkan lambang parti dalam membawa pembaharuan di kawasan mereka.

Siapa pilihan pengundi Cina?

Dun Derga tidak kurang menariknya apabila DAP dan Gerakan pasti akan bertarung sekali lagi. Kawasan ini dikatakan dimonopoli oleh masyarakat Cina kerana kedudukannya terletak di Bandaraya Alor Setar.

Bagaimana pula cita rasa masyarakat Cina pada PRU kali ini? Adakah mereka mahukan calon BN (Gerakan) di situ atau kekalkan DAP pada kali ini.

Difahamkan pengundi Cina terutamanya yang membabitkan  perniagaan  sangat sukar menerima dasar kerajaan hari ini hingga dikatakan mata pencarian  mereka terjejas kerana pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ini sudah pasti memberi kesan kepada pengundi Cina di situ. Bagaimanapun sebagai calon BN, Datuk Dr Cheah Soon Hai sudah pasti ada resipinya tersendiri bagi memikat hati kaum Cina .

Sungguhpun  Adun Tan Kok Yew boleh berlapang dada tetapi pencalonan Pas pasti akan memberi kesan kepada calon DAP itu nanti. Dahulunya pengundi  Pas turut memberi undi kepada DAP sehingga mencapai kejayaan tetapi pada kali ini macam mana pula?

 Di sini sudah pasti akan berlakunya tiga penjuru dan sudah Pas tidak akan memberi laluan kepada DAP pada PRU nanti selepas batalnya tahaluf siyasi.

Walaupun kini semua calon sedang bersiap sedia menghadapi musuh mereka di luar  tetapi mereka  harus juga berhati-hati. Perlu  diingat sungguhpun  berada di bawah satu panji-panji  rakan baik  juga boleh menjadi musuh dalam sekelip mata  bagi menjatuhkan rakan mereka sendiri  dalam PRU nanti.

Sumber: Sinar Harian