PAS Kecam Mahathir Mahu Kembalikan SST


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan termasuk pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad langsung tidak memberikan apakah langkah penyelesaian terhadap isu-isu yang mereka bangkitkan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengerusi Pakatan Harapan sebaliknya mengaku beliau akan mengembalikan sistem-sistem lama yang tidak adil jika pembangkang menang PRU-14.

“Sebagai contoh Mahathir kata kalau dia diberi mandat akan laksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Bila kata pasal Tol, dia (Mahathir) kata Tol Malaysia antara yang termurah (didunia). Cukai barang dan perkhidmatan (GST) mahu dihapuskan dan digantikan semula dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Tuan Ibrahim berkata, semua pihak sedia maklum bahawa SST adalah sistem percukaian yang tidak adil semasa zaman pemerintahan Mahathir.

Kata beliau, SST antaranya memberi ruang kepada golongan tertentu untuk `melindungi’ sumber kekayaan mereka menyebabkan negara hilang sebilangan besar pendapatan.

“Penyelesaian Gagasan Sejahtera adalah mengambil harta orang kaya untuk diberikan kepada orang miskin. Ini kaedah (sistem cukai) dalam Islam,” katanya. - Kedahnews.com