Pasangan OKU Menang Cabutan Bertuah Rumah PPR Baling


ALOR SETAR – Tuah pasangan orang kurang upaya (OKU) ini apabil memenangi cabutan bertuah sebuah rumah Projek  Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau yang dikenali sebagai, Muhammad Shahrul Hafizudin Abdullah, 26, yang cacat pende­ngaran berkata, rumah tersebut dianggap sebagai hadiah perkahwinannya yang berlangsung pada Disember lalu.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini walaupun langsung tidak menjangkakan akan memperoleh sebuah rumah tiga bilik serba lengkap dengan dapur dan bilik air yang selesa.

“Ini membuatkan kami lebih bersedia untuk berdikari dalam menjalani kehidupan berkeluarga dan pada masa sama memberi keselesaan kepada isteri dan anak-anak pada masa hadapan,” katanya memetik Utusan Online.

Muhammad Shahrul menzahirkan kesyukuran tersebut selepas ditemui dalam majlis pelancaran PPR Baling yang dirasmikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Kampung Charuk Sikin, Kupang, di sini pada Sabtu.

Katanya, dia dan isteri, Siti Aisyah Rasyid, 18, akan mula mengumpul duit untuk membeli perkakasan rumah sebagai persedia­an untuk berpindah ke situ nanti.

Dia yang bekerja sebagai penjual nanas di Kajang, Selangor, bersama isterinya berharap rumah baharu itu akan memberi lebih semangat untuk mereka menguruskan rumahtangga.

“Sebaik saja rumah tersebut siap, saya dan isteri akan pulang ke Charuk Sikin dan menetap di sini memandangkan kami hanya tinggal di Kajang demi menguruskan perniagaan,” ujarnya. - Kedahnews.com