Pembangkang Diramal Kempunan Lagi


Pilihan raya di Malaysia kerap mencetuskan kecenderungan tidak seimbang bagi sebuah negara mempunyai kira-kira 30 juta penduduk.

Bagaimanapun, pilihan raya kali ini yang ditetapkan pada 9 Mei mencuri tumpuan berbeza kerana bakal menemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bukan sahaja memulakan kerjaya politik di bawah bapa Najib (Perdana Menteri kedua) tetapi turut menerajui pentadbiran selama 22 tahun sehingga 2003. Beliau juga akan menjadi Perdana Menteri tertua jika menang pada usia 92 tahun, selepas beralih arah untuk menjadi calon Perdana Menteri pembangkang.

Sejak sekian lama, penganalisis politik Malaysia dari Barat membuat rumusan mudah. Barisan Nasional (BN) yang memerintah berdekad lamanya dianggap sebagai konservatif, terlalu memberi tumpuan terhadap kepentingan tertentu dan dilingkari persekitaran autoritarian, terutama ketika pentadbiran Dr Mahathir.

Sebaliknya, pembangkang digambarkan sebagai pejuang liberal, terutama selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipecat daripada jawatannya dan dipenjarakan. Beliau kemudian diangkat menjadi pemimpin pembangkang, selain dilihat sebagai ikon hak asasi manusia dalam kalangan penyokong neo-konservatif seperti Paul Wolfowitz.

Kebenarannya jauh lebih kompleks. BN adalah gabungan parti berasaskan kaum diterajui UMNO. Oleh kerana semua parti di kedua-dua pihak bergantung kepada undi etnik tertentu, BN mengamalkan politik lebih saksama, kemasyarakatan dan kurang liberal berbanding yang digemari pengkritik barat, namun pengundi Malaysia tetap memilih acuan itu secara konsisten.

Menolak tepi perkara itu, sebagai Pengerusi BN dan menerajui pentadbiran sejak 2009, Najib mempunyai rekod pencapaian yang boleh dinilai – dan mahu rakyat Malaysia berbuat demikian. Beliau merujuk kepada pengwujudan 2.7 juta peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi hampir enam peratus tahun lalu, pembasmian kemiskinan dan pelbagai statistik yang menjelaskan mengapa Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengeluarkan laporan cemerlang setiap kali ke Malaysia.

Pengundi dan pelabur antarabangsa tahu apa yang akan diperoleh jika BN terus memerintah – dasar properniagaan yang mendorong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, menggelar Najib sebagai ‘Bapa Perjalanan Udara Tambang Rendah’, penekanan terhadap inovasi dan pemerkasaan wanita; keakraban hubungan dengan China dan dasar luar yang mesra dan tekad untuk menentang radikalisasi serta keganasan yang disifatkan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, sebagai “inspirasi bagi seluruh rantau ini.”

Tiada pengalaman

Sukar dipastikan apa yang boleh dijangka jika pakatan pembangkang menguasai pucuk pimpinan kerana mereka tidak pernah memenangi pilihan raya umum, walaupun gabungan terdahulu memerintah negeri kaya seperti Selangor dan Penang sejak 2008.

Anwar menerajui kepemimpinan pakatan pembangkang sehingga kini (walaupun dipenjarakan sejak Februari 2015 kerana kesalahan meliwat) dan berupaya mengetengahkan imej kesederhanaan dan moden terhadap pemerhati antarabangsa yang sanggup ‘menolak tepi’ sejarah lampaunya sebagai pemimpin Islam, selain hubungan dengan beberapa pemimpin termasuk Yusuf Al-Qaradawi dan Tariq Ramadan. Tariq adalah antara cerminan terdekat Anwar yang mengamalkan sikap ‘bermuka’ dengan Barat, manakala mengutarakan pendirian lebih radikal terhadap seterunya.

Kemelut bagaimanapun tidak pernah menjauh. Gabungan merangkumi PKR yang diterajui Anwar, DAP sebagai parti berhaluan kiri dan parti siasah Islam, PAS.

Masing-masing mempunyai tarikan tersendiri, namun semua menggenggam matlamat berbeza dan bercanggah untuk Malaysia. Seperti digambarkan penulis dan kolumnis berhaluan kiri, Martin Jacques: “Ia adalah kombinasi ‘teman sebantal’ yang janggal dan tidak keruan. Kredibiliti pembangkang ternyata pincang.”

DAP mengakhiri hayat gabungan berkenaan kerana menentang gerakan PAS dalam memperkukuhkan syariah.

Parti Amanah Nasional (PAN) yang ditubuhkan daripada serpihan PAS menyertai PKR dan DAP. Dr Mahathir yang melancarkan serangan selama beberapa tahun (sebelum timbul isu 1MDB) untuk menjatuhkan Najib daripada tampuk pemerintahan, bersekongkol dengan pembangkang dan menubuhkan parti baharu. Berbeza dengan sisi sinonim pembangkang yang berjuang untuk pelbagai bangsa, ‘jentera’ baharu Dr Mahathir hanya untuk orang Melayu.

Oleh itu, sekutu baharu itu terdiri daripada campuran ketuanan Melayu, progresif Cina, Islam sederhana, sosialis India dan kelompok bekas ahli UMNO yang memendam ketidakpuasan.

Kecelaruan dan suasana tidak keruan terus menebal.

Pakatan pembangkang mempunyai ahli politik idealistik dan meyakinkan. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, hasrat mereka menuntut pembaharuan institusi tinggal sekadar momokan kerana kumpulan itu kini diterajui Dr Mahathir – individu yang didakwa pembangkang sebagai memperlekehkan mereka suatu ketika dahulu. Pakar ekonomi secara terbuka melontar kritikan manifesto mereka, manakala subsidiari badan penarafan Fitch menyifatkan semuanya ‘janji populis’ dan bakal mengundang bahaya kepada negara, malah “berupaya mencetuskan ketegangan terhadap hubungan dengan China”.

Paling penting, kebanyakan sekutu baharu Dr Mahathir pernah dipenjarakan ketika pemerintahannya. Beliau dan pemimpin pembangkang lain mempunyai sejarah berliku dalam saling menggelar rasis, saling menuduh mengutamakan kroni dan saling menentang dasar masing-masing.

Kurang lima tahun lalu, Lim Kit Siang mengatakan “Mahathir mahu membunuh saya” dan mendakwa bekas Perdana Menteri itu mengamalkan “politik jijik paling teruk dan tidak bermoral.” Tiga tahun kemudian, Dr Mahathir mendakwa Anwar mempunyai “perilaku tidak bermoral” dan terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri.

Sekarang, ketiga-tiganya adalah rakan karib dan akan mendapatkan pengampunan diraja buat Anwar sekiranya pakatan pembangkang menang supaya beliau boleh mengambil alih jawatan daripada Dr Mahathir yang kini berusia 92 tahun.

Tinjauan pendapat jarang dilakukan di Malaysia dan pilihan raya umum kali ini bakal menjadi lebih rumit atas hakikat PAS meletakkan calon di lebih daripada separuh kawasan, sekali gus mewujudkan saingan tiga penjuru. Namun demikian, jika benar “pembangkang tidak menang pilihan raya, kerajaan yang tewas”, maka berkemungkinan pilihan raya umum akan datang membuktikan sebaliknya. Seorang pemerhati pernah melabelkan pembangkang Malaysia sebagai ‘kumpulan yang tidak boleh membidik tepat” – dan kali ini, sasaran mereka nampaknya bakal tersasar lagi.

*Penulis Sholto Byrnes, adalah Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia