Pembangkang Habis Modal Asyik Nak Kitar Semua Isu 1MDB


ALOR SETAR – Bagaikan sudah ketandusan isu untuk diketengahkan, balik-balik pembangkang nak mempolitikkan isu 1MDB dan mengitar semula nama syarikat berkenaan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kali ini.

“Tak payah nak belit isu 1MDB,” demikian kata calon Parlimen Jerlun, Datuk Othman Abdul Aziz kepada pihak pembangkang yang asyik memutar-beliatkan isu berkenaan.

Tegas Othman, perkara yang penting adalah 1MDB kini berada di landasan yang telus dan benar malah Tun Razak Exchange (TRX) juga sedang dalam fasa pembinaan bahkan bandar Malaysia pula mendapat reaksi positif daripada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat terlibat sebagai pemaju induk projek tersebut.

Jelasnya, masa yang akan menentukan bahawa 1MDB akan menjadi konglemarat yang besar dan ia berjaya membuktikannya walaupun melalui kemelut hasil dakyah pembangkang.

“Apa yang nak bagitau, 1MDB berada di landasan yang betul,” katanya pada Jumaat lalu.

Menurut Othman, di Jerlun, BN hanya akan memperjuangkan isu-isu yang melibatkan bantuan hidup kepada pesawah, pekebun kecil dan program Bantuan Rakyat 1Malaysia.

“Dalam hal ini, apa yang penting ialah wakil rakyat yang dipilih memahami masalah rakyat sebab itulah kami lancar Jerlun For Jerlun,” katanya. - Kedahnews.com