KUCHING - Kementerian Dalam Negeri mengesan ada ejen asing menyalahgunakan pasport dari kalangan negara yang memiliki hubungan diplomatik dengan Malaysia untuk memasuki negara ini bagi menjalankan misi tertentu.
Ia termasuk ejen dari sebuah negara di Timur Tengah, yang memiliki rangkaiannya di seluruh dunia, khusus bagi menjalankan operasi khas untuk melindungi kepentingan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan sentiasa memantau pergerakan ejen asing, namun berdepan kesukaran jika ejen berkenaan menggunakan pasport dikeluarkan kelompok negara yang memiliki hubungan diplomatik dengan Malaysia.
"Dalam kes ini (pembunuhan Imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh), kita mungkin berdepan kesukaran dalam mengesan suspek (ejen asing) yang melakukannya.
"Namun, kita mengambil pendiriam optimis dan yakin 'kemenangan' akan berpihak kepada kita. Kita mengetahui ada sebuah negara di Timur Tengah yang sanggup melakukan apa sahaja bagi melenyapkan potensi warga Palestin.
"Mereka (ejen asing) mensasarkan rakyat Palestin yang mempunyai kepakaran tertentu agar kebangkitan intifada dapat dihalang atau dilenyapkan," katanya.
Beliau berkata demikian sebelum berlepas pulang ke ibu negara, petang tadi, melakukan lawatan kerja ke Sarawak.
Sabtu lalu, Pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Fadi, yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di ibu negara, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.
Siasatan awal polis mendapati suspek menaiki motosikal melepaskan lebih 10 das tembakan. Pemeriksaan awal mendapati terdapat empat kesan tembakan dikesan pada badan mangsa.
Berikutan itu, polis menubuhkan pasukan khas siasatan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa.
Sumber: BH Online