Peminat Bimbang Konsert Bruno Mars Pada Hari Mengundi


PEMINAT Bruno Mars melahirkan kebimbangan terhadap konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur yang kebetulan pada hari sama mengundi pada 9 Mei depan.

Bagaimanapun penganjur konsert tersebut PR Worldwide menerusi laman rasmi Facebook mereka meminta agar peminat bersabar dan menantikan pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

"Terima kasih atas semua mesej dan panggilan telefon yang dibuat berhubung konsert Bruno Mars yang jatuh pada hari sama mengundi.

"PR Worldwide akan membuat kenyataan rasmi tidak lama lagi," tulis wakil syarikat itu di Facebook.

Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan pada 9 Mei.

Konsert Bruno Mars 24K Magic World Tour  bakal diadakan di Axiana Arena, Bukit Jalil dan kesemua 12,000 tiket telah pun habis dijual.

Sumber: Mstar Online