Peminat Setia YB KJ Dapat Anugerah Individu Autisme Terbaik!


PETALING JAYA - Masih ingat lagi kisah tular hasrat seorang pelajar autisme yang mahu menghadiahkan kuih kapit hasil air tangannya kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tahun lalu?

Selepas hampir enam bulan berdepan pelbagai dugaan dan kejutan demi misinya itu, remaja berkenaan, Muhd Farid Fakhruddin Md Fauzan yang ketika itu berusia 19 tahun akhirnya merealisasikan impiannya bertemu Khairy pada Disember tahun lalu.

Tuahnya tidak terhenti setakat itu! Terbaharu pelajar semester akhir Sijil Asas Kulinari di Kolej Komuniti Selayang itu dinobatkan sebagai Individu Autisme Terbaik pada Anugerah Dari Hati ke Hati anjuran Bank Rakyat pada Isnin.

Anugerah tersebut diperkenalkan sempena Bulan Kesedaran Austisme Sedunia, bagi menghargai individu, media, organisasi dan persatuan autisme yang sentiasa menyokong golongan autistik.

Muhd Farid menambat hati juri profesional dalam kategori Individu Autisme Terbaik (18 tahun ke atas), dan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta trofi.

Bercakap kepada mStar Online, anak kelahiran Kota Bharu itu menganggap pengiktirafan tersebut sebagai satu kejutan yang tidak disangka.

“Saya masih lagi terkejut. Masa tengok nama saya diumumkan dan dipaparkan di skrin di pentas, saya macam tak percaya.

“Tapi saya bersyukur di atas pengiktirafan ini, dan saya amat gembira dipilih dalam kalangan penghidap autisme yang terbaik,” katanya.

Muhd Farid yang mahu meneruskan perusahaan membuat kapitnya selepas tamat belajar berkata, anugerah itu menjadi semangat untuk dirinya lebih yakin dan positif.

“Terima kasih kepada semua, keluarga, pensyarah dan kolej dan semua yang menyokong saya selama ini,” katanya.


Impian Muhd Farid untuk bertemu Khairy yang dikenalinya sebagai menteri 'jaga belia' pada mulanya dikongsi oleh aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi di Facebook sehingga tular.

Walau menteri yang lebih dikenali KJ itu memberi lampu hijau untuk berjumpa dengan remaja berkenaan, perjalanan Muhd Farid untuk merealisasikan hasratnya itu tidak mudah.

Dengan kejutan bersemuka dengan KJ tetapi tidak membawa kuih kapit pada Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), dia sekali lagi meneruskan misi pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 9 Disember lalu, yang turut dihadiri Ketua Pemuda Umno, tetapi masih gagal.

Akhirnya, selang beberapa hari kemudian, hasrat itu tertunai pada majlis pelancaran kafe sebuah yang disempurnakan oleh KJ.

Sementara itu, ibu Muhd Farid, Roselina Mohamad Mahiddin, 53, bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak dalam menghargai anaknya seorang penghidap autisme.

Pegawai pemasaran itu berharap anugerah tersebut dapat memberi inspirasi kepada Muhd Farid yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan dalam setiap perkara yang diceburinya.

“Sebagai seorang ibu kepada anak autisme, saya bersyukur kerana mempunyai anak istimewa ini yang merupakan anugerah dari Tuhan. Alhamdulillah, dulu dia hiperaktif, tetapi sekarang lebih terkawal.

“Kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak autisme, percayalah dan yakinlah bahawa terdapat keistimewaan di sebalik anak istimewa ini. Sayanglah dan sokong mereka sepenuh hati untuk menjadi insan yang positif,” ujar Roselina.

Sumber: Mstar Online