Pemuda UMNO Sabah Buat Laporan Polis Klip Video Palsu


KOTA KINABALU – Pemuda UMNO Sabah semalam membuat laporan polis berhubung klip video palsu mengenai kes rasuah berprofil tinggi di Sabah yang telah disunting sehingga kelihatan sebagai berita asal yang pernah disiarkan sebuah portal berita dalam talian The Star.

Laporan polis berkenaan klip video berdurasi satu minit, 34 saat yang tular di media sosial itu dibuat oleh Penolong Setiausaha Pemuda Umno Sabah Mohd Bahrin Abd Karim di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Karamunsing petang semalam.

“The Star baru sahaja mengeluarkan satu kenyataan penafian mengenai video itu yang menggunakan logo The Star TV dan The Star Online serta klip videonya tanpa kebenaran .Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada The Star atas penafian tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis berkenaan.

Menurut Mohd Bahrin video yang digodam itu merupakan contoh sangat baik bagaimana berita palsu digunakan dalam percubaan untuk menipu rakyat untuk befikir bahawa semua yang dikumpulkan dalam video itu termasuk visual wawancara dan suara adalah dari sumber yang boleh dipercayai.

“Inilah teknik kotor yang dibuat oleh pihak pembangkang dan tentunya apabila ia menjadi viral, ‘keyboard warrior’ mereka akan menyebar cerita ini,” katanya.

Katanya pergerakan itu meminta pihak polis menyiasat laporan itu dan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang gazetkan baru-baru ini.

Mohd Bahrin berkata pihaknya membuat laporan berkenaan untuk tidak membenarkan perbuatan seperti itu berleluasa dan perlu dicegah dari awal. -Bernama