KUALA LUMPUR - Permohonan Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua untuk bertanding di Parlimen Batu P115 ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia(SPR) ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013.
Keputusan SPR itu tidak hanya mengejutkan Tian Chua yang juga penyandang parlimen itu, malah empat calon lain hadir yang hadir menghantar borang pencalonan di dewan Sekolah Menengah Sentul Utama, di sini.
Ekoran penolakkan itu, SPR pada jam 11.45 pagi mengumumkan hanya empat calon iaitu, V M Panjamothy dari Parti Bebas, Dominic Lau Hoe Chai (BN),P. Prabakaran (Bebas) dan Azhar Yahya (Pas) akan bertanding di Parlimen Batu.
Tian Chua yang ditemui pemberita, mengakui beliau terkejut dengan keputusan itu kerana kes itu sudah selesai malah mendakwa Makamah Tinggi pada tahun ini, menyatakan beliau tidak kehilangan kelayakan untuk bertanding.
Katanya, kes mahkamah membabitkannya adalah bagi kesalahan memaki polis di Twitter pada 2013 dan sudah dibicarakan di Mahkamah Petaling Jaya, malah denda dikurangkan dari RM3,000 kepada RM2,000.
"Saya dimaklumkan oleh pegawai SPR yang menggunakan kuasa mutlak untuk menolak pencalonan saya berhubung satu kes mahkamah.
"Pegawai SPR memberi alasan taksiran berkaitan kes mahkmah itu adalah berbeza walaupun saya sudah menyatakan Mahkamah Shah Alam memutuskan saya tidak kehilangan kelayakan untuk bertanding.
"Keputusan ini amat mengejutkan dan ia adalah satu keputusan yang tidak adil kepada calon Pakatan Harapan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui sudah membuat bantahan kepada pegawai SPR namun dimaklumkan keputusan itu adalah mutlak.
Ditanya, apakah beliau disahkan tidak akan bertanding, Tian Chua berkata, beliau masih belum pasti perkara itu dan akan merujuk segara kepada pegawai perundangannya.
"Saya juga sudah memaklumkan kepada kepimpinan PKR berhubung keputusan mengejutkan ini dan akan bertindak selanjutnya," katanya.
Suasana di dewan Sekolah Menengah Sentul Utama tenang sekitar jam 9 ke 10 pagi tadi apabila lima calon hadir menghantar borang pencalonan namun kira-kira 11 pagi, ia dikejutkan dengan kenyataan Tian Chua yang mendedahkan permohonannya di tolak.
Perkara itu turut mengejutkan calon BN, Dominic Lau yang berkata, beliau sebenarnya sudah bersedia untuk menentang kubu kuat Tian Chua itu dan keputusan SPR benar-benar tidak dijangkanya.
"Saya tidak tahu perkara ini sehinggalah diberitahu sendiri oleh Tian Chua tadi.
"Apa pun walaupun ketiadaan calon itu, tidak bermakna BN harus bersenang-lenang dan memandang remeh calon-calon lain. Kita akan kekal berkerja kuat untuk rakyat di Batu," katanya.
Sumber:BH Online