Penduduk Asal Langkawi 'Tidak Dipandang' Mahathir Ketika Bangunkan Langakwii.


Golongan kelas atasan dan pemaju hartanah dari luar lebih banyak memperolehi peluang perniagaan besar di Langkawi yang bermula sejak lewat 1980-an sedangkan majoriti anak-anak setempat hanya menyambut cebisan-cebisan kecil kek ekonomi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir berkata, hakikat ini dapat dilihat kepada kedudukan taraf hidup penduduk asal pulau peranginan ini berbanding mereka yang berasal dari tempat lain yang menetap di sini.

“Pembangunan di Langkawi memang ada kelas (tinggi) tetapi komuniti (asal) tidak mendapat apa-apa. Sebahagian besarnya tidak mendapat peluang besar hanya menjadi pemandu teksi, bawa bot (pelancongan) dan peniaga kecil-kecilan,” katanya kepada Bernama.

“Ketika itu dia (Dr Mahathir Mohamad) berkuasa (sebagai perdana menteri) dan telah berjaya membawa acara-acara besar ke Langkawi tetapi komuniti setempat tidak dipandang secukupnya. Tetapi golongan kelas atas memang dia pandang,” katanya.

Menurutnya kaedah pembangunan eksklusif yang menjadi pilihan Dr Mahathir amat berbeza dengan pendekatan inklusif yang diamalkan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2009.

Katanya, antara langkah awal yang diambil Najib untuk meneruskan pembangunan di Langkawi adalah memperkenalkan Blueprint Pembangunan Langkawi pada 2010 yang turut menekankan pembangunan untuk komunitinya, melibatkan peruntukan RM450 juta oleh kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

“Saya rasa golongan muda yang ramai bersorak riang menyokongnya sekarang belum lahir semasa saya mula merasakan jerit-perih bergelumang dalam industri pelancongan. Mereka tidak tahu Tun Mahathir tidak bantu (saya). Tun (Mahathir) hanya bantu orang kaya yang boleh bantu dia,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Tuan Punya Kereta Sewa Langkawi, Ramli Ahmad beranggapan langkah Dr Mahathir untuk menjadi calon pembangkang dalam PRU14 ini sebagai satu tindakan yang tidak wajar.

Menurutnya faktor umur merupakan hakikat yang tidak memihak bekas perdana menteri berumur 93 tahun itu dan rakyat Langkawi mengambil risiko jika memilihnya.

Ramli percaya dalam PRU14 ini, rakyat Langkawi akan memilih calon yang mempunyai kualiti dan kemampuan untuk membela nasib mereka serta dapat meneruskan pembangunan yang berlaku di pulau ini.

“Saya tidak berminat dengan calon yang bertanding dengan niat hanya untuk membalas dendam dan menjatuhkan pemimpin tertentu. Kalau kalah, berdendam* apa guna? Kita kena reda sahajalah,” katanya.

Faktor umur yang diketengahkan Ramli ini turut disokong Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Langkawi, Yusof Zakaria, yang berpendapat rentak perubahan sekarang tidak sesuai bagi orang yang lanjut usia untuk memimpin.

Bagi beliau, Dr Mahathir dilihat sudah tidak dapat melepaskan diri lagi daripada kelazimannya menjadi perdana menteri selama 22 tahun untuk ‘melakukan apa sahaja yang dia mahu dan mendapatkan apa yang dia hendak’.

“Selepas tidak menjadi perdana menteri, dia tidak ada kuasa lagi. Kalau sudah tak ada kuasa, susahlah untuk dia arahkan orang buat kerja ikut kehendak dia,” katanya.

Yusof merasakan Dr Mahathir hanya berniat untuk terus menjaga kepentingannya di Langkawi apabila sanggup menjadi calon pakatan pembangkang untuk bertanding kerusi Parlimen itu.-

-Bernama