Pengkritik Fesyen Jelas Isu Kutuk Orang Gemuk


SELEPAS diasak pelbagai kritikan kecaman dan komen daripada pelbagai pihak berhubung kenyataannya yang disifatkan mengutuk individu berbadan besar.

Pengkritik fesyen, Zaihani Mohd. Zain hari ini tampil memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan. Status di laman Facebook miliknya yang tular itu sebenarnya tidak ditujukan kepada sesiapa.

Sebaliknya dia menegaskan bahawa entri tersebut hanya sekadar keluhan terhadap apa yang berlaku kepadanya dalam sebuah pertunjukan fesyen.


“Status Facebook saya itu satu keluhan tentang apa yang saya telah dan sedang lalui ketika acara berkenaan. Saya tidak tuju status tersebut kepada sesiapa mahupun menasihati atau menegur mana-mana pihak.

“Apatah lagi untuk mengutuk individu yang memiliki berat badan berlebihan. No body shaming!” tegas Zaihani dipetik Astro Gempak.

Jelasnya, dia hanya berkongsi keluhan berkenaan dengan kenalan rapat sahaja namun tidak menyangka entri berkenaan disalah erti oleh masyarakat dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Tambah Zaihani, berat 60 kilogram itu ditujukan secara anggaran jisim badan lelaki yang duduk bersebelahannya ketika acara terbabit.


“Saya tidak pasti berat badan sebenar lelaki itu, 60 kilogram itu sekadar anggaran saya. Jadi, 60 kilogram itu sebenarnya satu penjelasan betapa besarnya saiz badan dia berbanding saya yang hanya 50 kilogram.

“Lelaki itu duduk terkangkang hingga mengganggu ruang duduk saya, jadi saya rasa kurang selesa. 

“Untuk menegurnya pada waktu itu saya rasa kurang sesuai, jadi saya berkongsi keluhan itu di Facebook sahaja. Tidak sangka pula status itu disalah ertikan dan menjadi viral,” jelas wanita tersebut.

Katanya lagi, dia tidak teragak-agak untuk menegur perbuatan itu sekiranya individu yang duduk bersebelahannya adalah sahabat sendiri selain turut mengaku hal itu sering berlaku setiap kali menghadiri acara besar.

Terdahulu, Zaihani telah memuat naik status yang mengundang ‘amarah’ ramai pihak di media sosial yang disifatkan mengutuk individu berbadan besar.

Difahamkan, penggiat fesyen tersebut meluahkan ketidak selesaan itu selepas duduk bersebelahan dengan individu bertubuh besar dalam sebuah pertunjukan fesyen. -Kedahnew.com